Thursday, May 22, 2014

MHC umum skuad ke Piala Dunia


TEKA-TEKI mengenai senarai akhir 18 pemain skuad hoki negara yang akan menggalas cabaran pada Kejohanan Hoki Piala Dunia di The Hague, Belanda yang akan bermula penghujung bulan ini akhirnya terjawab.

Semalam, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan senarai akhir skuad negara pada sidang akhbar khas yang diadakan di Pejabat MHC di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Khidmat beberapa pemain senior yang disisihkan pada Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang baru-baru ini kembali mendapat tempat dalam skuad negara ke kejohanan berprestij itu.

Mereka terdiri daripada penjaga gol, Roslan Jamaluddin, Mohd. Sharun Nabil Abdullah, Muhammad Razie Abdul Rahim, Hafifi Hafiz Hanafi dan Muhammad Ramadan Rosli.

Empat pemain remaja iaitu Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin, Muhammad Azri Hassan, Muhammad Rashid Baharom dan Muhammad Hafizuddin Othman digugurkan daripada skuad ke Piala Dunia kali ini.

Ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menegaskan barisan 18 pemain yang terpilih itu yang akan menggalas cabaran negara pada kempen kali ini merupakan yang terbaik ketika ini.

"Pemain-pemain yang dipilih kali ini kebanyakannya memiliki pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa.

"Saya percaya adunan pemain senior dengan beberapa pemain remaja yang lain mampu menjamin kedudukan seperti yang disasarkan sebelum ini iaitu tempat ke-10," katanya pada sidang akhbar tersebut.

Skuad negara dijadualkan berlepas ke Belanda esok bagi mengharungi tiga sesi pemanas badan sebagai persiapan terakhir sebelum memulakan aksi pertama menentang Australia pada 31 Mei ini, sebelum bertemu Belgium (2 Jun), England (5 Jun), India (7 Jun) dan Sepanyol (9 Jun).

No comments:

Post a Comment