Thursday, May 22, 2014

Malaysia kejutkan Korea Selatan


MALAYSIA berjaya muncul sebagai juara Kumpulan C selepas mengejutkan Korea Selatan 3-2 dalam kempen pusingan awal Piala Thomas di New Delhi, India semalam.

Apa yang menarik, kemenangan penuh dramatik yang dicatatkan itu membantu Malaysia mengelak daripada bertemu dua gergasi dunia iaitu China dan Indonesia lebih awal di suku akhir.

Kemenangan ketika menentang naib juara edisi 2012 itu hasil kecemerlangan dua perseorangan negara iaitu pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Chong Wei Feng serta gandingan mantap, Tan Wee Kiong-Goh V Shem yang menyumbang mata untuk Malaysia.

Seperti biasa, Chong Wei melunaskan janjinya apabila mengungguli mata pertama perlawanan itu menewaskan perseorangan pertama Korea Selatan, Son Wan Ho 21-17, 21-17.

Bagaimanapun, peluang skuad negara untuk menambah mata tidak kesampaian apabila Tan Boon Heong-Hoon Thien How tewas kepada Yoo Yeon Seong-Lee Yong Dae 21-19, 21-19 pada aksi kedua pertemuan itu.

Tidak mudah mengaku kalah, Wei Feng menyempurnakan tugasnya dengan sempurna membantu Malaysia mendahului 2-1 selepas menundukkan pemain yang sedang meningkat, Lee Dong Keung 19-21, 21-17,21-14.

Cubaan skuad negara menggandingkan Wee Kiong dan V Shem ternyata berhasil apabila pasangan yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 itu dijulang sebagai wira setelah mengesahkan mata kemenangan.

Ia turut menjadi hadiah hari jadi untuk V Shem dan Wee Kong yang menyambut ulang tahun ke-25 pada 20 Mei dan 21 Mei lalu apabila berjaya menumbangkan pasangan No. 4 dunia, Kim Sa Rang-Kim Ki Jung 21-17, 21-19.

Korea Selatan kemudian merapatkan jurang apabila perseorangan ketiga negara, Goh Soon Huat yang menggantikan kapten pasukan, Liew Daren tewas kepada Soo Hwang Jong 21-23, 15-21.

Juara sembilan kali, China dan juara 13 kali, Indonesia mengetuai senarai lapan pasukan yang turut layak suku akhir iaitu Malaysia, Denmark, Korea Selatan, Jepun, Thailand dan Perancis.

No comments:

Post a Comment