Tuesday, May 06, 2014

Langkah mundur!


Kuala Lumpur: Bekas Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Dr Peter Velappan berpendapat Malaysia tidak perlu mengambil pemain naturalisasi untuk memperkuatkan skuad kebangsaan kerana tindakan itu boleh diibaratkan satu langkah ke belakang.
Katanya, sebagai negara yang meletakkan bola sepak sebagai sukan nombor satu, Malaysia tidak perlu memberikan kerakyatan kepada pemain asing untuk menyarung jersi Harimau Malaya kerana ia hanya memperlekehkan pemain tempatan.

“Kita sebenarnya mempunyai pemain berbakat, tapi masalahnya kita tidak membentuk mereka secara profesional. Bagi saya Malaysia tidak perlukan pemain luar untuk mewakili skuad kebangsaan kerana ia langkah ke belakang.

“Kita negara bola sepak, kita sudah membuktikan kemampuan pada tahun 60an, 70 an, dan 80an apabila beraksi di Piala Asia, Sukan Asia dan layak dua kali ke Sukan Olimpik dengan kudrat pemain tempatan.

FotoPEMAIN kacukan Malaysia-Sweden Junior Eldstal mampu beri impak kepada negara sekiranya digilap dengan baik.

“Jika kita mengambil pemain luar, ia seperti menggambarkan kita terlalu terdesak dan jauh ketinggalan. Kita perlu terus memberi kepercayaan kepada pemain tempatan dan apa yang diperlukan adalah pembangunan pemain yang sistematik,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pemain naturalisasi yang dibangkitkan baru-baru ini berikutan keinginan pemain import Selangor kelahiran Brazil, Paulo Rangel yang bersedia menukar status kewarganegaraan untuk menyertai skuad kebangsaan.

Ternyata laporan Arena Metro mengenai pemain naturalisasi itu membuka mata pelbagai pihak yang mula membincangkan mengenai perkara itu yang dilihat sebagai antara jalan untuk memantapkan prestasi skuad kebangsaan khususnya di bahagian serangan ketika ini.

Jurulatih sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee mengalu-alukan hasrat Rangel yang menjadi penjaring terbanyak Liga Super ketika ini untuk bersama skuad kebangsaan sekiranya dia memenuhi segala syarat-syarat yang diperlukan.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga menyatakan bahawa mereka tidak menutup pintu sepenuhnya kepada pemain luar sekiranya seseorang pemain itu mempunyai kehebatan ‘luar biasa’ bagi mencetus kebangkitan skuad kebangsaan.

Velappan yang pernah berkhidmat selaku Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkata, Malaysia tidak perlu mengikut jejak negara lain yang memberi taraf kerakyatan kepada orang luar kerana ia belum menjanjikan kejayaan.

“Negara seperti Qatar dan Arab Saudi mengambil pemain dari Afrika untuk mewakili mereka, tapi mereka memang tidak mempunyai cukup pemain dan kita tidak berdepan situasi seperti itu.

“Jepun hanya membawa masuk ramai pemain import dengan kontrak jangka panjang untuk beraksi bersama kelab dan bukannya pasukan kebangsaan ketika mereka mula-mula menghidupkan Liga J (Jepun).

“Kini Liga Jepun sudah berjaya dan mereka sudah mula mengurangkan pengambilan pemain import sebaliknya mereka pula yang mengeksport pemain ke Eropah,” katanya.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment