Monday, May 26, 2014

'Kita kecewa lagi'

 
Tan Wee Kiong dan Goh V Shem 'Kita kecewa lagi' (kiri) meraikan kejayaan mereka menumpaskan Keigo Sonoda Takeshi Kamura dalam acara beregu kedua pada perlawanan akhir Piala Thomas di New Delhi malam tadi. - REUTERS
 
NEW DELHI - Liew Daren telah berusaha mencatat kebangkitan hebat dan rakan-rakannya juga telah berjuang habis-habisan, namun semangat mereka belum cukup untuk mengembalikan Piala Thomas ke pangkuan Malaysia apabila tumpas 2-3 kepada Jepun malam tadi.

Kekalahan ini menyaksikan penantian 22 tahun terus berpanjangan dan impian untuk melihat piala keagungan badminton itu kembali ke tanah air terpaksa ditunda sekurang-kurangnya dua tahun lagi.
Selepas kedudukan terikat 2-2, Malaysia sudah di ambang kekalahan apabila Daren tumpas 12-21 pada set pertama. Namun dia menunjukkan semangat melawan yang hebat dengan mengheret lawannya, Takume Ueda bertarung dalam set penentuan setelah memenangi set kedua.

Dia ketinggalan 9-15 pada set ketiga dan berusaha keras untuk mengejar namun akhirnya tunduk 12-21, 21-18, 17-21 kepada Takume Ueda.

Kemenangan ini memahat sejarah baharu sukan badminton apabila Jepun dinobat sebagai juara buat kali pertama dalam sejarah 65 tahun kejohanan dan Malaysia terus kempunan gelaran selepas kali terakhir memenanginya pada 1992.

Biarpun kegagalan bukan nota yang dimahukan oleh 27 juta rakyat Malaysia yang amat mengimpikan kepulangan Piala Thomas sejak kejayaan di Kuala Lumpur itu, namun semangat luar biasa yang dipamerkan pemain-pemain negara wajar diberi pujian, apatah lagi mereka tidak langsung diberi harapan untuk menjejakkan kaki ke final sebelum tiba di New Delhi.

“Maafkan saya Malaysia. Saya sangat kecewa dengan kekalahan ini, namun saya sudah cuba memberikan yang terbaik tetapi ia tidak memadai.

“Saya tidak boleh buat apa jika orang mahu menyalahkan saya, tetapi yang penting dalam perlawanan terakhir ini saya berusaha memberikan yang terbaik. Sayang sekali saya gagal memberikan mata kemenangan yang diperlukan oleh pasukan," ujar Daren dengan nada cukup kecewa.

Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sebelum itu memberi harapan buat Malaysia apabila mengutip mata harapan dengan mudah menundukkan Kenichi Tago 21-12, 21-16 dalam perseorangan pertama.

Namun Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng gagal meneruskan permulaan baik apabila tewas dalam perlawanan masing-masing untuk menyebabkan Malaysia ketinggalan 1-2.

Boon Heong-Thien How tewas 21-12, 17-21, 19-21 kepada pasangan No. 3 dunia, Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo, manakala Wei Feng gagal memberi tentangan sengit kepada juara remaja dunia, Kento Momota apabila tunduk 15-21, 17-21.

V Shem-Wee Kiong bagaimanapun meneruskan rekod baik mereka pada Piala Thomas apabila menyamakan kedudukan 2-2 selepas menumpaskan Keigo Sonoda-Takeshi Kamura 21-19, 17-21, 12-21.

“Ini adalah pengalaman yang sangat luar biasa buat saya dan saya tidak pernah merasa suasana ini.
“Saya masih muda tetapi sudah dianggap pemain senior dalam pasukan dan hari ini menyumbangkan mata kemenangan dalam kejohanan yang tidak pernah kami menangi selama ini.
“Ia perasaan yang sangat mengujakan," kata Ueda yang tidak mampu menyembunyikan kegembiraan sejurus tamat perlawanan.

Oleh Norzie Mohd. Khasbi - UTUSAN

No comments:

Post a Comment