Monday, May 26, 2014

Khairy Minta Astro Hadiahkan Hak Siaran Langsung Piala Thomas Kepada RTM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merayu agar stesen televisyen berbayar, Astro, menghadiahkan hak penyiaran perlawanan akhir Piala Thomas 2014 kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia menyaksikan perlawanan itu.

Khairy menerusi laman sosial Facebook dan Twitternya berkata pemberian tersebut bagi membolehkan mereka yang tidak melanggan Astro dapat menyaksikan perlawanan akhir skuad negara menentang Jepun esok.

"Bukan selalu kita dapat mara ke final Piala Thomas. Kali terakhir 12 tahun lepas dan kali terakhir kita menang pula 22 tahun yang lepas.

"Siaran perlawanan akhir esok harus dibawa kepada seluruh rakyat menerusi rancangan secara percuma," katanya.

Skuad badminton negara layak ke final selepas mengalahkan musuh tradisi Indonesia 3-0 pada separuh akhir di New Delhi, India, semalam.

"Semalam saya tweet bahawa RTM akan siarkan final Piala Thomas, tetapi dimaklumkan bahawa Astro minta RM4 juta sebagai bayaran daripada RTM untuk hak siaran," katanya.

Beliau berkata RTM tidak mempunyai peruntukan bagi membayar hak siaran tersebut kerana peruntukan telah dibelanjakan untuk hak siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2014 yang akan berlangsung di Brazil pada 12 Jun hingga 13 Julai ini.

Ketika ditemui di Karnival Belia 2014 di Putrajaya hari ini, Khairy berkata permintaannya kepada Astro itu tidak akan mengganggu jumlah penontonnya.

"Orang yang ada Astro takkan tengok RTM dan ini hanya untuk mereka yang tidak ada Astro...jadi kita takkan minta selalu.

"Saya pun tak selalu minta syarikat swasta selalu beri percuma sebab mereka mempunyai perancangan kewangan dan sebagainya.

"Saya tak memaksa cuma saya rasa kita ada peluang yang baik sekali untuk menang Piala Thomas kali ini," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana RTM tidak menyiarkan siaran langsung perlawanan separuh akhir itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment