Friday, May 09, 2014

Khairy gesa FAM lebih tegas


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertindak lebih tegas menangani kejadian tidak diingini membabitkan penonton, terutama pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT), 30 Mei ini.

Kebimbangan Khairy memuncak berikutan insiden terbaru membabitkan 1,000 peminat tuan rumah yang dilapor sengaja melakukan provokasi terhadap penyokong Pahang di luar Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Tindakan segelintir penyokong Johor DT itu berpunca daripada rasa tidak puas hati susulan perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 7 Februari lalu.

“Saya sudah hubungi Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dua hari lalu dan minta FAM ambil tindakan drastik dan tegas kerana terlalu banyak insiden membabitkan penyokong yang gagal dikawal,” katanya.

“Saya harap FAM tampil dengan pelan tindakan lebih baik supaya insiden seperti pergaduhan dan sebagainya dapat dielakkan,” kata.

Mengulas cadangan FAM tidak membenarkan penyokong Johor DT hadir di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada perlawanan separuh akhir kedua itu, beliau berkata, Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) sedang mengkaji saranan itu.


Oleh Mohd Firdaus Hashim, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment