Tuesday, May 27, 2014

Kerajaan Komited Lihat Atlet Muda Beraksi Di Persada Antarabangsa - Khairy

KANGAR, 26 Mei (Bernama) -- Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak komited untuk terus melihat lebih ramai atlet muda negara beraksi di peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata penganjuran Sukan Malaysia atau SUKMA bertepatan dengan matlamat itu.

Beliau berkata selain SUKMA, pelbagai program pembangunan sukan dilancar bagi melahirkan atlet untuk disandarkan harapan mewakili negara dalam Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik.

"Atlet-atlet muda hendaklah berani menyambut cabaran untuk menjadi jaguh-jaguh hebat dengan penuh semangat," katanya dalam ucapan pada perasmian SUKMA XII oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di sini Isnin malam.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Datuk M. Saravanan.

Khairy berkata ramai atlet terbaik negara lahir hasil penganjuran SUKMA, antaranya Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Shalin Zulkifly, Azizul Hasni Awang dan Pandalela Rinong.

Beliau memberi penghormatan kepada kerajaan Perlis kerana bersikap serius dan bersungguh-sungguh dalam mengelolakan SUKMA meskipun memiliki sumber terhad.

"Matlamat penganjuran SUKMA bukan sekadar untuk mencipta kemenangan malah sebagai platform melahirkan atlet penuh dengan semangat kesukanan yang tinggi.

"Saya harap kemudahan yang tersedia ini digunakan sepenuhnya untuk melatih atlet mencapai tahap tertinggi dan tidak dibiarkan menjadi gajah putih selepas SUKMA berakhir," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata kerajaan negeri memberi komitmen penuh untuk menjayakan SUKMA kerana kepercayaan dan keyakinan kerajaan pusat kepada Perlis menganjurkan temasya itu tidak diperoleh dengan mudah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment