Friday, May 30, 2014

‘Kami belum sedia’


Kelana Jaya: Teka-teki pengendali baru Harimau Malaya berterusan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum bersedia mengumumkan pengganti Datuk K Rajagobal yang tidak dilanjutkan kontrak penghujung tahun lalu.

Malah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) membayangkan ada kemungkinan calon lain dipertimbangkan walaupun badan induk sudah menyenarai pendek tiga calon sebelum ini.

Tiga calon itu adalah bekas jurulatih Iraq, Wolfgang Sidka, bekas pemain Real Madrid dan Barcelona, Luis Milla bersama jurulatih Mozambique, Gern Engels.

“Kita tidak boleh umumkan kerana terdapat kekangan tertentu, jawatan ketua jurulatih negara akan diumumkan penghujung bulan depan atau awal Julai, mungkin juga ada calon lain selain tiga calon disenarai pendek itu.

Foto

“Ia termasuklah pengumuman mengenai exco yang bakal memimpin sejumlah jawatankuasa tetap di FAM selepas pemilihan barisan kepimpinan yang baru.

“Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (Presiden FAM) sudah mengarahkan saya meneliti perkara ini,” kata Hamidin.

Sejak awal tahun ini, jawatan ketua jurulatih negara dipangku Datuk Ong Kim Swee yang juga ketua jurulatih bawah 23 tahun negara yang dilihat memberikan suntikan positif terhadap Harimau Malaya termasuk menewaskan Yemen 2-1 dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2015.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar kelmarin berharap FAM segera melantik pengendali baru skuad negara kerana Harimau Malaya akan beraksi di Piala AFF penghujung tahun nanti dengan saingan domestik juga semakin menghampiri penghujung sekali gus akan menyukarkan jurulatih baru membuat penilaian yang tepat terhadap pemain.

Sementara itu Hamidin menjelaskan FAM akan cuba mendapat satu tiket play-off kepada pasukan tempatan untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia 2015 namun mereka perlu memenuhi beberapa kriteria ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen sebelum 31 Oktober nanti.

“Kemungkinan besar peluang akan diberikan kepada juara Liga Super dan sekiranya mendapat lesen, keputusan terperinci akan diputuskan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan,” jelasnya.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment