Friday, May 30, 2014

Juang kenang kehilangan



Kuala Lumpur: Walau apapun keputusan pertemuan dengan Australia pada perlawanan pertama skuad negara di Piala Dunia esok, anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mahu perlawanan itu menjadi sesuatu yang bermakna bagi memperingati kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang cukup dikenali begitu meminati sukan hoki.

Dhaarma yang dihubungi semalam berkata, pemergian Almarhum Sultan Azlan Shah atau bapa hoki Malaysia ketika skuad negara bakal mengharungi perlawanan pertama mereka, cukup dirasai oleh beliau serta anak buahnya.

“Sudah tentu kami mahukan keputusan bagus. Harap-harap kami dapat mempamerkan permainan menarik sebagai memperingati pemergian Almarhum Sultan Perak.

“Lagipun inilah masanya untuk kami memperoleh kembali penghormatan daripada dunia selepas sekian lama tidak beraksi di Piala Dunia,” katanya.

Jelas Dhaarma, bertemu pasukan ranking pertama dunia pada penampilan pertama skuad negara selepas 12 tahun menyepi daripada saingan berprestij itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi.

“Untuk tewaskan pasukan ranking pertama dunia memang susah. Sebab itu saya rasa kita perlu terima hakikat siapa kita.

“Kita tak beraksi di tiga Sukan Olimpik dan dua Piala Dunia. Tapi kita mempunyai semangat juang yang tinggi,” katanya merujuk kepada Australia yang berpengalaman luas di pentas Olimpik dan Piala Dunia.

Almarhum Sultan Azlan Shah adalah bekas Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) yang kini dikenali sebagai Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Beliau juga adalah Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) dari 1990 hingga sekarang dan memperkenalkan Piala Sultan Azlan Shah bermula 1983.

Satu upacara penghormatan akan berlangsung sebelum bermulanya perlawanan antara Malaysia dengan Australia esok bagi memperingati pemergian beliau.


Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment