Wednesday, May 28, 2014

JKR tak pantau

Oleh Lokman Zainal Abidin, Mohd Firdaus Hashim dan Hafizudin Mohd Safar
Kangar: Giliran Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri pula dipersalahkan gara-gara pusat akuatik Kompleks Sukan Kangar masih tidak siap sedangkan acara renang sepatutnya bermula hari ini.

Satu-satunya jalan yang dapat difikirkan ialah penganjur terpaksa mengambil keputusan menangguhkan acara akuatik dan ia akan hanya bermula esok, lewat sehari daripada jadual asal.

Lawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Datuk M Saravanan ke venue berkenaan petang semalam mengundang kesal apabila beliau mendapati tidak seorangpun wakil JKR berada di situ untuk memantau semua kerja pembinaan.

Ketiadaan wakil JKR itu disifatkan antara punca mengapa kolam renang terbabit lewat disiapkan.

FotoSARAVANAN (kanan) melawat Pusat Akuatik yang masih dalam pembinaan.

Akibatnya, KBS terpaksa mengeluarkan bajet tambahan RM300,000 bagi menyediakan lokasi lain di Kedah andai pusat akuatik itu tetap gagal disudahkan menjelang tengah malam ini.

Saravanan berkata, keseluruhan venue itu sudah siap, namun beberapa penambahbaikkan perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan atlet.

“Saya sedih ketika saya hadir untuk menyemak keselamatan di sini, saya tidak lihat wakil JKR. Jika berlaku perkara tidak diingini, siapa yang akan bertanggungjawab?

“Pegawai mereka sepatutnya perlu ada di sini hingga siap. Dari segi infrastruktur memang sudah sedia, tapi kita cuma tingkatkan ciri-ciri keselamatan.

“Perubahan ini dilakukan atas pandangan pakar. Sebab itulah kami ambil tanggungjawab ini kerana tidak mahu jika berlaku sebarang kejadian, mereka tuding jari kepada KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya.



Oleh Lokman Zainal Abidin, Mohd Firdaus Hashim dan Hafizudin Mohd Safar, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment