Monday, May 26, 2014

Jepun Sekat Malaysia Untuk Ulangi Sejarah 1992


NEW DELHI, 25 Mei (Bernama) -- Malaysia sekali lagi kempunan untuk menjulang Piala Thomas dalam tempoh 22 tahun setelah dikecewakan Jepun 3-2 pada final di Stadium Tertutup Siri Fort di sini malam Ahad.

Selepas beregu kedua negara Goh V Shem-Tan We Kiong menyamakan kedudukan 2-2, harapan Malaysia terhadap Liew Daren untuk menamatkan penantian lebih dua dekad pada set penentuan tidak kesampaian.

Perseorangan ketiga negara itu dijinakkan oleh Takuma Ueda 12-21, 21-18 dan 21-17 selepas pertarungan selama 78 minit, sekali gus memberikan kejuaraan pertama buat negara Matahari Terbit itu.

Selepas gergasi dunia China tersingkir di separuh akhir, Malaysia bertukar watak sebagai pasukan pilihan untuk mengulangi kejayaan merangkul Piala Thomas pada 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Seperti diramalkan, tonggak perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei menyuntik semangat pasukan Malaysia apabila membuka gelanggang dengan mata pertama.

Pemain nombor satu dunia itu dengan mudah mengalahkan Kenichi Tago untuk kali ke-16 dengan keputusan 21-12 dan 21-16 dalam masa 44 minit.

Bagaimanapun, beregu pertama negara Tan Boon Heong-Hoon Thien How gagal mempertahankan kedudukan apabila tewas kepada Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo dengan 21-12, 17-21 dan 19-21 dalam saingan selama 75 minit.

Chong Wei Feng, yang dijangka mengekalkan rekod bersih di sini, bagaimanapun tewas kepada Kento Momota 15-21 dan 17-21 dalam masa 39 minit, sekali gus membolehkan Jepun mendahului 2-1.

V Shem dan Wee Kiong membuktikan semangat melawan Malaysia belum padam apabila mereka mengambil masa 65 minit untuk mengetepikan pasangan Takeshi Kamura-Keigo Sonodo 19-21, 21-17 dan 21-12.

Chong Wei berkata kemenangan mata pertama adalah penting untuk mengurangkan tekanan kepada beregu pertama dan perseorangan kedua.

"Ini merupakan pentas final pertama bagi diri saya dan saya mahu menang mata pertama," kata pemain berusia 32 tahun itu yang ternyata kecewa dengan kekalahan kepada pendatang baharu, Jepun.

Dalam pada itu, Wei Feng, yang melakukan penampilan sulung dalam Piala Thomas, menyifatkan situasinya seperti berada dalam periuk tekanan tinggi.

"Saya tidak dapat memperagakan perlawanan biasa saya. Lawan saya itu berjaya memecahkan rentak saya dari awal lagi dan benteng pertahanan juga rapuh. Dari segi taktikal, saya mengaku kalah," kata pemain berusia 27 tahun itu.

Sementara itu pemain beregu, Boon Heong berkata mereka cuba melakukan permainan bercorak defensif tetapi gagal mengejar lawannya selepas itu.

Kali terakhir Malaysia ke pentas final ialah pada edisi 2002 di Guangzhou, China dan pada ketika itu kalah 3-2 kepada Indonesia.

Jurulatih negara Rashid Sidek mengakui pemain Jepun menampilkan aksi yang lebih baik. "Adalah malang kita kalah tetapi saya berpuas hati dengan pasukan kerana melakukan yang terbaik. Sasaran kami kali ini ialah separuh akhir dan layak ke final merupakan satu bonus," katanya.

Ditanya peluang pada edisi akan datang dalam masa dua tahun lagi sekiranya Chong Wei bersara, Rashid berkata: "Memang tanpa Chong Wei, pasukan negara kurang mantap dan kita perlu berusaha dengan lebih keras."

Beliau berkata Indonesia, China dan kini Jepun memang merupakan pasukan handalan.

Jurulatih Jepun Park Joo Bong, yang pernah melatih skuad beregu negara beberapa tahaun lepas, berkata mereka amat gembira untuk menjulang trofi Piala Thomas buat pertama kali.

Katanya, tumpuan pasukan mereka adalah amat tinggi dan mampu menyerap tekanan dengan lebih baik berbanding Malaysia.

Oleh M. Saraswathi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment