Monday, May 05, 2014

Isu naturalisasi tak pernah timbul

KUANTAN - Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) tidak pernah membincangkan soal pengambilan pemain naturalisasi untuk mewakili negara seperti yang disarankan beberapa pihak sebelum ini.

Menurut Timbalan Pre­siden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, proses naturalisasi adalah dasar kepada individu dan bukan bergantung kepada kehendak badan induk bola sepak negara.
“Saya tak kata takkan berlaku, kalau dia dapat pasport (Malaysia) atas sebab-sebab tersendiri, mungkin dia kahwin dengan orang Malaysia atau dia ada anak orang Malaysia.

“Tapi kalau nak ambil orang luar nak bagi pasport Malaysia, maaf saya pun tak setuju. Kalau dia bagus sangat mungkin kita boleh tengok, he’s got to be extraordinary," kata Tengku Abdullah selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Seminar Jurulatih dan Pe­ngadil Hoki di sini semalam.
Tengku Abdullah diminta mengulas mengenai hasrat seorang pemain kelahiran Brazil dan penyerang Selangor, Paulo Rangel untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Pemain berusia 29 tahun itu mempamerkan prestasi cemerlang apabila meledak 10 gol dalam 13 penampilan bersama skuad Red Giants dalam saingan Liga Super musim ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin me­nyatakan bahawa beliau tidak menyokong sebarang usaha untuk menggunakan khidmat pemain luar bagi memperkuatkan skuad kebangsaan.

Tengku Abdullah menambah, beliau tidak bercakap mengenai mana-mana individu sebaliknya bercakap mengenai dasar dan polisi.

“Kami tak pernah berbincang pasal itu (naturalisasi) dalam FAM, tapi kita tak tahu masa depan, walau siapa pun presiden baharu (FAM)," titah baginda yang juga merupakan calon untuk jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-50 FAM, 25 Mei ini.

No comments:

Post a Comment