Tuesday, May 27, 2014

Hanya MB Boleh Putuskan Penggunaan Kompleks Renang - ASUM

KANGAR, 27 Mei (Bernama) -- Keputusan sama ada Kompleks Renang di Kompleks Sukan Negeri (KSN) di sini boleh diguna atau tidak untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 terletak pada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong berkata ini kerana kompleks itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Kita sudah melihat keadaan Kompleks Renang ini. ASUM tidak boleh membuat keputusan akhir sama ada ia dapat digunakan esok (hari pertama acara akuatik).

"Keputusan sama ada kompleks ini boleh digunakan bergantung kepada mesyuarat antara Menteri Besar dengan pihak kontraktor yang saya difahamkan berlangsung hari ini. Kita kena tunggu keputusan itu," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan di kompleks renang berkenaan.

Menurutnya berdasarkan pemeriksaan ASUM di Kompleks Renang itu, tiga perkara utama menimbulkan kebimbangan iaitu pengaliran air di kedua-dua kolam, getah pelapik antigelincir di platform terjun dan aspek pencahayaan.

Sementara itu tinjauan Bernama pada Isnin mendapati kerja-kerja pemasangan bumbung masih dijalankan dan air kolam pula keruh.

Mengenai pertandingan yang dijadualkan esok, Chong berkata acara akan berlangsung seperti yang dijadualkan setelah mendapat kata putus daripada kerajaan negeri.

Pada masa ini kebanyakan atlet sedang menjalani latihan di Pusat Akuatik Gunung Kriang, Alor Setar dan juga di Universiti Utara Malaysia, Sintok, di Kedah, katanya.

Semalam, Menteri Besar Perlis memberi jaminan bahawa acara renang dan terjun akan tetap dijalankan di Kompleks Renang KSN seperti yang dijadualkan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment