Tuesday, May 20, 2014

Giliran Sazali, Nicol terbaik!



Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Sazali Abd Samad dan ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David menepati ramalan apabila dinobat Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Negara (ASN) 2013, malam tadi.
Kejayaan Sazali membolehkan atlet berusia 47 tahun itu meraih gelaran berkenaan buat kali ketiga sejak terpilih pada 2000 dan 2006.

“Saya terharu dengan pemilihan ini, terima kasih kepada pihak juri yang memilih saya, ini mungkin rezeki saya. Untuk tersenarai dan seterusnya terpilih bukanlah mudah.

“Ini membuktikan usaha saya tanpa mengenal putus asa selama ini diiktiraf semua pihak. Selagi saya boleh berbakti kepada negara, saya tidak akan bersara. Saya mempunyai minat mendalam terhadap sukan ini,” katanya yang meraih gelaran Mr Universe pada Kejohanan Dunia, November tahun lalu buat kali kesembilan.

Menurut Sazali, fokusnya kini untuk memulihkan kedua-dua lututnya yang sakit sejak Sukan SEA 2013, Disember lalu.

Pemilihan Sazali menamatkan dominasi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang memenanginya pada 2011 dan 2012.

Kejayaan Nicol turut menamatkan kejayaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang terpilih dua tahun berturut-turut.

Pemain skuasy nombor satu dunia, Nicol pula memastikan gelaran olahragawati kesembilan diraihnya selepas rentetan kejayaan cemerlang tahun lalu dengan memenangi tujuh daripada 10 kejohanan disertai selain mempertahankan status sebagai juara dunia selama tujuh tahun berturut-turut.

Sementara ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan sebahagian anak buahnya mendapat suntikan semangat terbaik menjelang Piala Dunia di Belanda penghujung bulan ini.

Dhaarma terpilih sebagai jurulatih lelaki kebangsaan selepas membawa skuad hoki remaja negara menamatkan saingan di kedudukan keempat Piala Dunia Remaja pada Disember tahun lalu dan lebih manis barisan pemain yang dibimbingnya pada kejohanan itu dinobat pasukan lelaki kebangsaan.


 Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment