Wednesday, May 14, 2014

Edrus terus curi tumpuan


Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal negara, Mohd Edrus Yunos terus mencuri tumpuan apabila memenangi acara pecut individu pada siri kedua Kejohanan Berbasikal Grand Prix Trek Asia Tenggara di Veledrom Cheras, semalam.

Kejayaan itu meningkatkan keyakinan Edrus selepas memenangi siri pertama kejohanan berkenaan Ahad lalu menjelang cabaran lebih getir di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2014 di Kazakhstan minggu depan.

Malah dia mahu melengkapkan minggu sempurna dengan melakar hatrik apabila turun pada siri ketiga bermula esok.

“Saya sedikit kepenatan hingga melakukan catatan masa kurang baik. Namun tumpuan kali ini lebih kepada taktikal bagi mencari kemenangan,” katanya selepas menewaskan pelumba Racing Colomb dari Perancis, Quentin Lafargue dengan acara akhir hanya berlangsung satu pusingan berbanding dua pusingan seperti biasa kerana hujan.

Kejayaan itu menurut Edrus menambah keyakinannya untuk berusaha merebut salah satu daripada tiga tempat dalam acara pecut di ACC dengan pelumba muda negara, Muhammad Shah Firdaus Shahrom dilihat pencabar utama kerana ketua jurulatih negara John Beasley pasti memberi dua tempat kepada Azizulhasni Awang dan Josiah Ng.

“Malaysia diperuntukkan tiga tempat untuk pecut dan keirin dan kami perlu bersaing. Saya harap terpilih dalam acara pecut kerana yakin memberikan saingan,” katanya yang pernah memenangi emas acara pecut berpasukan dan satu kilometer ujian masa di ACC.

Kategori wanita pula menyaksikan pelumba negara mewakili YSD Team, Fatehah Mustapa mempamerkan kebangkitan apabila muncul juara dengan menewaskan pelumba Perancis yang mewakili kelab Leclerc, Virginie Cueff.

Ia menebus kekalahan Fatehah yang terpaksa akur kepada pelumba sama pada siri pertama.

Saingan Kejohanan Berbasikal Grand Prix Trek Asia Tenggara membabitkan pelumba dari Perancis, Afrika Selatan, Uzbekistan, Brunei dan Singapura.

Ia penting buat mengutip mata untuk layak ke Piala Dunia Klasik dan medan pemanas badan di ACC.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment