Thursday, May 22, 2014

Durian runtuh jurulatih MSN


Kuala Lumpur: Jurulatih tempatan sepenuh masa dan sambilan di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) kini menikmati skim gaji dan elaun baru membabitkan kenaikan antara 30 hingga 50 peratus.

Cadangan penetapan gaji dan elaun baru untuk jurulatih lantikan baru dan yang sedang berkhidmat itu diluluskan pada Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN semalam, selepas mengambil kira tidak berlaku sebarang pergerakan gaji jurulatih tempatan secara rasmi sejak Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan diwujudkan dan diluluskan Kabinet pada Jun 2006. Skim dan elaun gaji baru itu berkuat kuasa Mac lalu, membabitkan 192 jurulatih sepenuh masa dan sambilan yang sedang berkhidmat.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan semalam berkata, Lembaga Pengurus MSN berpendapat sudah tiba masa jurulatih mendapat pengiktirafan atas pengorbanan, ketekunan dan kejujuran mereka berdasarkan tahap Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPPK) masing-masing.

“Ia juga sebagai dorongan kepada jurulatih tempatan untuk meneruskan usaha murni mereka selain dapat menarik minat lebih ramai bekas atlet atau penggiat sukan untuk menceburi bidang kejurulatihan.

“Berbekal tangga gaji baru ini, bidang kejurulatihan di Malaysia kini satu kerjaya yang mampu menjamin masa depan,” katanya.

Menurut Khairy, MSN diminta melakukan penilaian semula berhubung tangga gaji sedia ada jurulatih tempatan pada Disember lalu sebelum dikemuka dan dilulus pada mesyuarat Lembaga Pengurus MSN.

Di bawah tangga gaji baru, jurulatih yang mempunyai SPKK Tahap 3 akan mendapat imbuhan paling tinggi iaitu sehingga 50 peratus kenaikan gaji berbanding sekarang.

“Jurulatih tempatan yang mempunyai SPKK Tahap 3 dianggap setaraf dengan jurulatih luar negara yang kini berkhidmat di bawah program MSN,” katanya.

Beliau juga berharap dengan skim gaji baru ini, persatuan sukan kebangsaan (PSK) dapat melahirkan lebih ramai jurulatih SPKK Tahap 3 agar dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga dan kepakaran jurulatih asing pada masa akan datang.

Tangga gaji yang diluluskan semalam membabitkan semua peringkat jurulatih sepenuh masa bermula dari RM1,900 sehingga RM4,500 sebulan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment