Thursday, May 22, 2014

Dapat durian runtuh

SERAMAI 192 jurulatih tempatan sepenuh masa dan sambilan yang berkhidmat di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) menikmati kenaikan gaji sebanyak 30 sehingga 50 peratus berkuatkuasa Mac lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi mesyuarat Lembaga Pengurus MSN semalam selepas mengambil kira tidak berlaku sebarang pergerakan gaji sejak Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan diwujudkan pada 2006.
Beliau menjelaskan, para jurulatih tempatan yang mempunyai Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) tahap tiga menerima imbuhan paling tinggi sehingga 50 peratus kenaikan berbanding gaji sekarang.

"Tangga gaji diluluskan itu membabitkan semua peringkat jurulatih sepenuh masa bermula daripada RM1,900 sehingga RM4,500 sebulan.

"Selaras kenaikan itu, jurulatih SPKK tahap tiga dianggap setaraf dengan jurulatih luar negara yang sedang berkhidmat di bawah program MSN," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Khairy menambah, kenaikan itu secara tidak langsung menggalakkan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) melahirkan lebih ramai jurulatih dengan penganjuran lebih banyak kursus sukan spesifik pada tahap tiga.

Jelasnya, Lembaga Pengurus MSN berpendapat sudah tiba masanya para jurulatih mendapat pengiktirafan berdasarkan tahap masing-masing memandangkan kali terakhir pindaan gaji dilakukan pada 2009.

"Kenaikan itu sebagai dorongan kepada jurulatih tempatan untuk meneruskan usaha murni mereka selain dapat menarik minat lebih ramai bekas atlet untuk menceburi bidang kejurulatihan.

"Berbekalkan tangga gaji baharu itu, bidang kejurulatihan dalam negara ini bakal menjadi satu kerjaya yang mampu menjamin masa hadapan," katanya.

No comments:

Post a Comment