Friday, May 30, 2014

Bumbung Pusat Akuatik koyak

PENGUNJUNG Pusat Akuatik melihat bumbung yang terkoyak dan jatuh ke dalam kolam renang yang sepatutnya digunakan untuk acara renang dalam Sukma XVII di Kangar semalam.
 
KANGAR - Selepas beberapa jam insiden melibatkan bumbung koyak dan tercabut di Pusat Akuatik di Kompleks Sukan Negeri di sini, kontraktor utama Lima Corporation Sdn. Bhd. akhirnya tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkaitan.

Pengarah operasinya, Hishamuddin Abd. Hamid berkata, pihaknya diberi jaminan keselamatan oleh syarikat pembekal bumbung yang beroperasi di Pulau Pinang sebelum ia dipasang di venue tersebut.
Dia menegaskan, pembekal sudah memberi jaminan bahawa ia selamat digunakan tetapi perkara yang terjadi semalam menyebabkan keseluruhan bumbung itu perlu dibuka.

Katanya, tindakan membuka bumbung dilakukan 30 minit selepas kejadian itu berlaku dengan bantuan daripada sub-kontraktor yang masih melakukan kerja-kerja di dalam kawasan kompleks sukan itu.

"Kami akan melihat kembali perkara ini sebelum membuat tindakan lanjut kerana ia secara tidak langsung menjejaskan nama baik kami.

"Bumbung baharu tidak akan dapat dipasang dalam tempoh terdekat kerana ia akan menjejaskan penganjuran sukan di lokasi ini. Ia hanya akan dipasang selepas tamat temasya sukan ini," katanya.
Difahamkan, kontraktor utama itu adalah 'penyelamat' kepada projek yang gagal disiapkan dan mereka hanya diberikan tugasan berkenaan pada Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, disebabkan kelewatan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) memberikan persetujuan dengan pelbagai perkara teknikal, kerja-kerja pembinaan hanya bermula pada Februari lalu iaitu tiga bulan sebelum acara bermula.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kontraktor yang terlibat serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membincangkan perkara itu.

Selain itu katanya, satu laporan penuh berkaitan isu itu akan dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk tindakan susulan.

No comments:

Post a Comment