Thursday, May 22, 2014

Bubar Artikel 88


Johor Bahru: “Saya akan pastikan Artikel 88 akan dimansuhkan seandainya dipilih memegang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” kata Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada pertemuan dengan Arena Metro, Tunku Ismail berpendapat Artikel 88 harus dibubarkan kerana ia langkah terbaik bagi memastikan apa jua teguran dan pandangan mampu meningkatkan mutu bola sepak negara.

Malah beliau juga menegaskan pandangan disuarakan pelbagai pihak bukanlah untuk menjatuhkan sesiapa dan sewajarnya pihak yang ingin memberi pendapat diberi peluang menyuarakan pandangan bernas.

“Jika saya dipilih, pemansuhan Artikel 88 itu akan dilaksanakan kerana saya bersikap terbuka untuk memastikan bola sepak negara berada di tahap tertinggi kerana saya sedih apabila Liga Malaysia (Liga M) ketika ini berada dalam Kategori D dan sudah tiba masanya pembaharuan dibuat bagi meningkatkan ke Kategori A. “Teguran dan pandangan yang dibuat pihak tertentu bukanlah dengan niat untuk menjatuhkan sesiapa, tapi demi kebaikan bola sepak, justeru sudah tiba masanya Artikel 88 itu dimansuhkan,” katanya, semalam.

Tunku Ismail juga menyuarakan perancangan rapi untuk menyalurkan RM2 juta hingga RM3 juta kepada persatuan bola sepak negeri bagi melaksanakan pembangunan akar umbi selain menekankan FAM tidak akan mengambil walau satu sen wang penajaan yang dikhususkan kepada persatuan bola sepak negeri.

“Wang penajaan daripada Astro akan disalurkan kepada persatuan negeri dengan FAM hanya akan menyelaras Liga M selain komited untuk memantau perjalanan liga.
FotoTunku Ismail Sultan Ibrahim
“Apa yang saya cakap, saya akan laksanakan, tapi ada pihak lain yang baru sekarang hendak hulurkan RM1 juta. Kenapa baru sekarang nak menyalur dana berkenaan? Kenapa tidak empat tahun lalu? Kenapa baru nak buat selepas saya buat pengumuman untuk menyalur RM2 juta hingga RM3 juta?” katanya.

Beliau juga akan tetap meneruskan usaha meningkatkan mutu pengadilan dengan memperkenalkan pengadil profesional dengan peruntukan sejumlah RM5 juta hingga RM6 juta dengan pengadil profesional itu akan dikendalikan persatuan pengadil.
“Gaji pengadil akan dibayar antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi memastikan setiap pengadil tiada gangguan daripada pihak tertentu. Saya akan meminta kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau,” katanya.

Tunku Ismail juga akan merancang mesyuarat EXCO FAM diadakan di setiap negeri dengan persatuan negeri di bawah badan induk bola sepak negara menjadi tuan rumah.

“Langkah itu bertujuan memberi peluang kepada semua EXCO melihat sendiri pembangunan dan pelaksanaan infrastruktur persatuan bola sepak negeri dan jika perlu, dibuat ia akan dilaksanakan segera.

“Apapun sebelum mengadakan mesyuarat EXCO, saya akan mengadakan perjumpaan dengan penyokong bagi mendapat maklum balas kerana kita kena tahu bola sepak di negara ini hak milik rakyat Malaysia. Namun semuanya akan dilaksanakan jika saya terpilih,” kata Tunku Ismail.


Oleh Rizar Mohd Noor, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment