Thursday, May 08, 2014

Beri Perlis peluang

“KITA tunggu dulu kolam renang siap. Baru kita buat keputusan.”
Demikian komen Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ketika mengulas laporan Kosmo! mengenai kebimbangan yang dizahirkan oleh Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

Pada Selasa lalu, Setiausaha Kehormat ASUM, Edwin Chong melahirkan kebimbangan beliau sekiranya kerja-kerja pembinaan kompleks renang Perlis bagi kegunaan Sukan Malaysia (Sukma) yang bermula 24 Mei hingga 4 Jun depan tidak menepati piawaian yang ditetapkan FINA dan ASUM.

Ulas Zolkples, beliau yakin dengan komitmen dan jaminan yang diberikan oleh Menteri Besar Perlis, Azlan Man dalam memastikan kerja-kerja pembinaan kompleks renang itu disiapkan menjelang 15 Mei.

“Mengenai kebimbangan ASUM, ia sebenarnya tidak perlu kerana kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh mereka yang profesional.

“Sudah tentu mereka tahu standard piawaian yang perlu dicapai mereka dalam kerja-kerja pembinaan tersebut,” jelas Zolkples yang ditemui selepas majlis perasmian Kejohanan Menembak Air Gun Piala Ketua Pengarah MSN.

Zolkples juga meminta agar semua pihak tidak terlalu memberi tekanan kepada Perlis dalam usaha mereka menyiapkan infrastruktur Sukma walaupun mereka agak ketinggalan dari aspek masa.
“Jaminan telah diberikan. Jadi, kita tunggu dan lihat dan apa yang berlaku pada Sukma Pahang dua tahun lalu, kita jadikan pengajaran.

“Sudah tentu saya mahu semua acara dijalankan di Perlis sendiri walaupun pelan alternatif telah disediakan sekiranya timbul beberapa kemungkinan.

“Saya juga tidak mahu isu ini akan menyebabkan atlet yang bertanding nanti `patah semangat’ dalam menghadapi Sukma,” tambahnya.

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment