Tuesday, May 27, 2014

BAM Ingatkan Skuad Negara Waspada Kebangkitan Negara Lain


SEPANG, 26 Mei (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berpuas hati dengan persembahan skuad negara yang muncul naib juara dalam kejohanan Piala Thomas 2014 di India semalam, namun mengingatkan pemain agar tidak terlalu selesa dengan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.

Presidennya, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata penyertaan Malaysia dalam kejohanan itu merupakan pengiktirafan kepada negara.

"Kita tidak boleh terlalu berpuas hati dan perlu berjaga-jaga dengan kebangkitan negara lain yang sedang meningkat naik dalam arena badminton antarabangsa.

"Pesaing kita bukan sahaja Jepun (yang menewaskan Malaysia pada final Piala Thomas) kerana negara lain seperti India dan Thailand juga menunjukkan prestasi yang baik," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan skuad negara dari India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Isnin.

Sementara itu, jurulatih negara Rashid Sidek berkata khidmat dan kelebihan pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei sememangnya masih diperlukan untuk Piala Thomas akan datang.

"Chong Wei memang perlu bermain lagi untuk Piala Thomas... Kita memerlukan tenaganya sebab dengan kehadirannya, kumpulan kita akan lebih kuat lagi dan sekurang-kurangnya Malaysia boleh dapat satu mata," katanya.

Mengulas kekalahan pemain perseorangan Liew Daren di final, Rashid berkata ia mungkin disebabkan faktor tekanan.

"Mungkin tekanan itu terlalu tinggi untuknya kerana merasakan dia perlu menang, tidak boleh kalah. Namun kami berpuas hati sebab dia telah membuktikan yang dia betul-betul nak menang.

"Tapi memang lawan dia lebih kuat dan kita juga boleh nampak beliau telah cuba sehabis baik," katanya.

Mengakui kekalahan di New Delhi satu kerugian buat negara, Chong Wei bagaimanapun berkata skuad negara sudah memberi persaingan sengit kepada lawan seperti Jepun, Korea Selatan dan Denmark.

"BAM sasar kita pergi sampai separuh akhir tapi kita telah mara ke pusingan akhir, dan peluang untuk menang Piala Thomas sudah cerah namun ia tidak kesampaian," katanya.

Chong Wei, yang juga tonggak perseorangan negara, berkata beliau akan terus bermain dalam kejohanan Piala Thomas 2016.

Sementara itu, Liew mengakui kecewa kerana tidak dapat memenuhi harapan negara untuk merampas Piala Thomas.

"Saya tidak berpuas hati dengan permainan saya malam tadi kerana hanya dapat bermain dua set terakhir dengan baik dan tidak dapat memberi fokus dalam set pertama. Namun, secara keseluruhan semua pemain telah menunjukkan prestasi yang sangat baik," katanya.

Beliau bagaimanapun gembira dengan kehadiran ramai penyokong di KLIA yang menyambut skuad Piala Thomas negara secara meriah diiringi sorakan dan kata-kata semangat.

Malaysia gagal menjulang Piala Thomas apabila tewas 2-3 kepada Jepun pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi.

Harapan negara pudar setelah pemain perseorangan ketiga, Liew, gagal menyekat Takuma Ueda sekali gus memberi kejuaraan sulung Piala Thomas buat Jepun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment