Thursday, May 15, 2014

Azizulhasni tekad padam detik hitam


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang mahu menjadikan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Kazakhstan minggu depan sebagai medan terbaik memadam memori hitam menimpanya di Kejohanan Dunia dan Piala Dunia Klasik awal tahun ini.

Sekurang-kurangnya satu pingat emas menjadi sasaran pelumba kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu apabila tampil di Velodrom Saryarka, Astana.

“Saya hanya meletakkan sasaran emas, sama ada dalam pecut atau keirin. Apa yang sudah berlaku biarlah berlalu, tapi perlu menjadikannya pengajaran. Peristiwa itu tidak dapat dilupakan kerana ia antara bentuk pengadilan tidak profesional, tapi kadang-kadang kita terpaksa akur dan tidak harus cepat mengalah, harus pandang ke depan dan jadikan ia sebagai motivasi,” katanya yang kini berada di Melbourne, Australia.

Pelumba Olimpik negara itu mengharungi musim menghampakan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) apabila penyertaannya dalam acara keirin di Kejohanan Dunia di Cali, Columbia dibatalkan dan turut menerima nasib sama dalam dua saingan Piala Dunia Klasik.

“Saya terpaksa lebih berhati-hati kerana seolah-olah ada mata memerhati. Mereka sedar keupayaan saya. Mereka tahu apa yang saya mampu lakukan. Paling penting apa yang berlaku sebelum ini tidak terjadi di Olimpik 2016. Jadi kami mengharapkan yang terbaik di Olimpik nanti dengan menjadikan insiden ini sebagai persediaan ke arah itu,” tambahnya.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment