Thursday, May 08, 2014

Apa visi tiga calon presiden?: Annuar


Kota Bharu: Apa visi tiga calon yang mahu merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)?

Itu persoalan dilontarkan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menjelang Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM pada 25 Mei ini.

Buat kali pertama pertarungan tiga penjuru akan disaksikan bagi merebut kerusi presiden apabila penyandang Sultan Ahmad Shah dicabar anakandanya yang juga Timbalan Presiden Tengku Abdullah serta Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bagi Annuar, dalam tempoh sebelum pemilihan itu, 39 wakil ahli gabungan yang diberikan hak mengundi pada pemilihan itu perlu mengetahui visi dan misi tiga calon itu sebelum membuat keputusan.

“Pada saya masa dua minggu ini perlu digunakan sepenuhnya delegasi untuk berfikir dan kalau boleh calon presiden beritahu apa yang mereka mahu buat.

“Kalau boleh delegasi ini harus berjumpa dengan calon-calon ini, jangan ada jurang antara delegasi dengan calon presiden atas dasar bola sepak negara,” katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Tunku Ismail bahawa pemilihan itu adalah sekadar penyerahan jawatan antara ahli keluarga Annuar berkata: “Itu mungkin pandangan beliau (Tunku Ismail).

Mungkin beliau ada sebab tertentu hingga bercakap seperti itu, tapi yang akan menentukannya 39 perwakilan nanti.”




Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment