Monday, April 14, 2014

Zulmazran Intai Slot Ke Sukan Asia 2014


KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Pemain elit boling lelaki kebangsaan, Zulmazran Zulkifli kini memberikan fokus sepenuhnya untuk meraih slot ke Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan pada September ini.

Juara kategori Masters lelaki Kejohanan Boling kebangsaan 2014 itu menyifatkan persaingan untuk merebut slot ke temasya sukan itu kian sengit selepas beberapa pemain skuad pelapis diserapkan ke dalam skuad elit kebangsaan.

"Tahun ini agak mencabar kerana ramai pemain boling yang agak bagus seperti Timmy (Tan) dan Isaac (Russell Paul) dan kemenangan pada Kejohanan Boling Kebangsaan (semalam) agak penting untuk mencerahkan peluang saya meraih slot ke Sukan Asia.

"Saya bersedia untuk memberikan saingan sengit kepada pemain boling lain dalam merebut slot ke temasya sukan berkenaan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Zulmazran, 31, berkata skuad kebangsaan akan menyertai beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa selepas ini termasuk Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung dari 2-10 Mei sebagai persediaan awal ke Sukan Asia.

"Memandangkan Sukan Asia hanya tinggal empat bulan, maka setiap pemain harus berjuang untuk meraih slot ke temasya berkenaan.

"Siapa yang mempamerkan aksi hambar pada mana-mana kejohanan selepas ini, jurulatih (Holloway Cheah) tidak teragak-agak untuk menggantikan mereka dengan pemain lain," kata Zulmazran.

Pada masa yang sama, pemain veteran kebangsaan itu turut berharap dapat mengubah warna pingat sekiranya layak beraksi pada temasya kali ini, selepas sekadar meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Untuk rekod, Zulmazran pernah menyertai tiga edisi Sukan Asia iaitu pada 2002 di Busan, Korea Selatan; 2006 di Doha, Qatar dan 2010 di Guangzhou, China.

Oleh Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment