Tuesday, April 29, 2014

Zulfahmi Raih Satu Mata Di Grand Prix Argentina

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Penunggang Moto3 kebangsaan Muhammad Zulfahmi Khairuddin mengutip satu mata melalui perlumbaan ketiganya di Grand Prix Argentina.

Penunggang Ongetta-Air Asia itu menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 dengan catatan masa 39 minit 12.575 saat di Termas de Rio Hondo Circuit.

Penunggang Itali Romano Fenati daripada pasukan Sky Racing muncul juara dengan catatan masa 38:34.451, diikuti penunggang pasukan Estrella Galicia 0,0 Alex Marquez dari Sepanyol dengan masa 38:34.550s, manakala penunggang Australia Jack Miller daripada pasukan Red Bull KTM Ajo menduduki tempat ketiga (38:34.991s).

"Saya tidak memulakan perlumbaan dengan baik. Banyak yang perlu dibuat terhadap keadaan motosikal dan kaedah menunggang, tapi pasukan kami bekerja keras untuk memastikan semuanya berjalan baik," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penunggang Moto3 kebangsaan Hafiq Azmi daripada pasukan SIC-Ajo menduduki tempat ke-16 dalam perlumbaan itu dengan catatan masa 39:13.061s.

"Perlumbaan ini jauh lebih baik daripada perlumbaan sebelumnya. Saya memulakan perlumbaan dengan baik dan cuba berada dalam kumpulan yng disertai Bastianini (Junior Team GO&FUN Moto3). Bagaimanapun, saya perlu bersaing dengan Scott Deroue (RW Racing GP), Zulfahmi dan beberapa penunggang lain dalam kumpulan itu.

"Saya cuba memisahkan diri, tapi sukar. Akhirnya, saya dapati susah untuk mengikut rentak kumpulan itu dan perlu memecut selaju-lajunya dan ini mendorong saya melakukan kesilapan pada pusingan kedua sebelum tamat perlumbaan, yang menyebabkan saya tidak meraih sebarang mata. Bagaimanapun, saya gembira dengan tempat ke-16 itu," kata Hafiq.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment