Tuesday, April 15, 2014

Zolkples Kesal Wakil Dua Persatuan Tidak Hadir Mesyuarat Bagi Sukan Komanwel


KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zokples Embong kesal wakil Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Persekutuan Hoki Malaysia tidak hadir pada mesyuarat pengurus pasukan bagi temasya Sukan Komanwel.

Beliau berkata mesyuarat itu penting kerana melibatkan semua penggiat sukan termasuk MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam membincangkan soal pengurusan atlet bagi menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 23 Julai-3 Ogos ini.

"Kita jangkakan mesyuarat hari ini dihadiri oleh semua pengurus pasukan tetapi nampaknya masih ada lagi persatuan yang diwakili tidak dapat hadir kerana ada urusan lain. Dua pasukan iaitu hoki lelaki dan berbasikal pula langsung tiada wakil dan kita tidak tahu sebab apa.

"Kita tidak mahu pengurus pasukan hanya jumpa atlet masa nak 'fly' (berlepas) sahaja, sebab peranan mereka penting untuk pastikan semua atlet memberi tumpuan pada persediaan.

"Ada 100 hari lagi sebelum sukan Komanwel dan esok MOM akan mengadakan mesyuarat untuk menyenaraikan nama kontinjen ke sukan Komanwel," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ketua kontinjen dan pengurus pasukan di MSN di sini Isnin.

Pasukan Sukan Komawel negara kali ini akan diketuai presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ong Poh Eng.

Zolkples berkata pengurus pasukan perlu memastikan atlet yang terlibat terhindar daripada pengambilan bahan terlarang dan bersedia untuk memastikan kontinjen negara mengulangi kejayaan pada Sukan Komanwel edisi 2010 di New Delhi, India dengan pencapaian 12 pingat emas, 10 pingat perak dan 14 pingat gangsa.

"Saya berharap atlet dapat melakukan yang terbaik pada sukan Komanwel kali ini, sudah tentu bukan senang kita mahu mengulangi kejayaan di New Delhi pada empat tahun yang lepas.

"Beberapa atlet yang mengambil bahagian akan beraksi pada Sukan Asia di Incheon seperti Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol Ann David (skuasy), Mohamad Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Fatehah Mustapa (berbasikal) mereka ini adalah prospek pingat pada kedua-dua temasya jadi pengurus pasukan perlu memastikan atlet ini dalam keadaan yang bersedia," katanya.

Sementara itu, Ong berkata sasaran pingat pada temasya sukan Komanwel itu akan ditetapkan apabila meneliti senarai akhir kontinjen negara ke sukan Komanwel pada mesyuarat bersama-sama MOM esok.

"Masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran, hari ini perbincangan lebih dalam aspek akreditasi atlet, pakaian dan persediaan atlet ke sukan Komanwel nanti," kata Ong.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment