Monday, April 21, 2014

Usah keterlaluan!

“Kalau tak boleh kawal perasaan, tiada semangat kesukanan dan tidak boleh hormati undang-undang, lebih baik jangan terbabit dalam bola sepak! Itu kenyataan disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Astaman Abd Aziz yang kecewa dengan tindakan pengurus Johor Darul Ta’zim II On Jabbar@Jaafar menumbuk pengadil Sukri Abd Rahman selepas perlawanan menentang UiTM FC di Pasir Gudang, kelmarin.

Beliau berkata, sebagai seorang pengurus, On tidak boleh bertindak melampaui batas ke atas pengadil tidak kira dalam apa situasi sekali pun kerana ia menyalahi undang-undang.

“Walau apa punca sekali pun, beliau tidak boleh mengasari pengadil apatah lagi menumbuk.

Kita ada peraturan, jangan bertindak keterlaluan kerana kita ada saluran yang betul kalau tidak puas hati,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Insiden kekecohan itu berlaku apabila On yang tidak puas hati dengan beberapa keputusan Sukri bertindak menumbuk pengadil itu selepas tamat perlawanan Liga Perdana antara pasukan tuan rumah Johor DT II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang yang berakhir seri 2-2.

Astaman berkata, beliau belum menerima laporan rasmi mengenai insiden itu, namun menerusi rakaman yang disiarkan di televisyen jelas menunjukkan On melakukan kesalahan itu.

“Dalam TV kita sudah nampak,” katanya yang tidak dapat mengesahkan tahap kecederaan dialami Sukri namun dimaklumkan pengadil itu sudah membuat ujian imbasan dan akan membuat laporan polis.

Sementara itu Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan meneliti laporan perlawanan dan akan mengambil tindakan seadil-adilnya berhubung insiden itu.

“Pengadil tidak boleh dijadikan mangsa kemarahan kerana kita ada peraturan.

Jika pengurus bertindak seperti ini, ini akan membangkitkan kemarahan penyokong dan kita bimbang insiden lebih buruk boleh terjadi.

Foto

Saya nasihatkan kepada semua pihak supaya jangan bertindak keterlaluan,” katanya


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment