Wednesday, April 09, 2014

UPSI Tuan Rumah Karnival Sukan MASUM 2014 Fasa 1

TANJONG MALIM, 8 April (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini dipilih sebagai tuan rumah Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2014 Fasa 1 selama sembilan hari bermula Sabtu lepas.

Majlis perasmian MASUM disempurnakan semalam oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Datuk Wan Khazanah Ismail mewakili Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Madinah Mohamad.

"MASUM sudah berusia 39 tahun dan merupakan pencetus kepada perkembangan sukan di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan pihak kementerian akan terus memberi sokongan dalam memperkasakan sukan di IPT dan juga negara," kata Wan Khazanah.

Beliau turut menyarankan para atlet dan warga sukan IPT agar menjadikan sukan sebagai ejen penyatuan kaum di negara ini selaras semangat 1Malaysia.

Kejohanan dari 5 hingga 13 April ini disertai lebih 3,000 atlet dan 200 pegawai daripada IPTA seluruh negara.

Sebanyak 51 pingat emas dipertaruhkan pada kejohanan itu membabitkan 11 acara antaranya badminton, ping pong, hoki dewan, sepak takraw dan ragbi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment