Tuesday, April 01, 2014

UCI Sedia Bantu Malaysia Muncul Kuasa Utama Sukan Berbasikal Asia

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bersedia membantu Malaysia untuk muncul sebagai sebuah kuasa terkuat Asia dalam tiga disiplin berbasikal iaitu lebuh raya, bukit dan BMX.

Perkara itu dinyatakan Presiden UCI, Brian Cookson kepada Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab yang berkunjung ke ibu pejabat badan induk berbasikal dunia itu di Aigle, Switzerland, baru-baru ini.

Beliau berkata Cookson yang menang pemilihan jawatan Presiden UCI pada September lepas turut berhasrat melihat pelumba basikal BMX atau bukit negara menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

"Pada pertemuan selama dua jam di Ibu Pejabat UCI di Aigle, Switzerland, saya secara peribadi meminta bantuan badan dunia sama ada dalam bentuk geran kewangan atau menghantar jurulatih ternama dalam program usaha sama ke Malaysia.

"Saya berasa lega apabila UCI berjanji akan membantu sama ada dalam bentuk geran kewangan atau penghantaran jurulatih bertaraf dunia ke Malaysia secara kerjasama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abu Samah berkata Cookson mencadangkan beberapa pelaksanaan yang boleh direalisasikan oleh PKBM dalam tempoh terdekat untuk skuad berbasikal negara yang masih jauh ketinggalan dalam disiplin BMX dan basikal bukit.

"Cookson menegaskan bahawa UCI berasa kurang senang dengan senario yang dianggap sangat tidak seimbang antara Eropah dan benua yang lain.

"Kita belum mempunyai pelumba basikal bukit atau BMX yang bertaraf dunia malahan sebenarnya sukar untuk bersaing di peringkat Asia Tenggara. Ini adalah hakikat dan realiti sebenar," kata Abu Samah yang merupakan Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment