Thursday, April 17, 2014

Tunku Ismail tarik diri, Sultan Ahmad Shah penentu


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik diri daripada bertanding merebut jawatan presiden pada Kongres Pemilihan FAM ke-50 pada 25 Mei.

Berikutan perkembangan terbaru itu, pertandingan jika ada, adalah antara penyandang Sultan Ahmad Shah dan anaknya yang juga Timbalan Presiden Tengku Abdullah.

Tunku Ismail difahamkan masih berada di luar negara, tapi sudah memaklumkan kepada FAM mengenai pendiriannya untuk menolak pencalonan daripada ahli gabungan bagi mencabar jawatan Presiden FAM.

Menurut sumber rapat dengan FAM, keputusan itu sudah dijangka memandangkan Tunku Ismail belum bersedia berada dalam saf kepimpinan badan induk itu sebaliknya mahu memberikan fokus kepada pembangunan bola sepak di Johor.

“Benar, Tunku Ismail tidak akan bertanding pada Kongres FAM nanti. Apa yang saya tahu, Tunku Ismail mahu memberikan perhatian kepada usaha membangunkan bola sepak di Johor seperti yang beliau nyatakan sebelum ini,” kata sumber itu yang enggan namanya didedahkan.

Pendirian Tunku Ismail itu yang dilihat banyak melakukan perubahan kepada bola sepak di Johor dalam beberapa tahun kebelakangan ini pasti mengecewakan ramai pihak yang menaruh harapan agar beliau memasuki FAM untuk memberikan sumbangan di peringkat lebih tinggi.
Ketiadaan Tunku Ismail itu bakal menyaksikan perebutan kerusi presiden kini terarah kepada Sultan Ahmad Shah dan Tengku Abdullah dengan kedua-dua calon itu menyatakan hanya akan membuat keputusan selepas selesai Mesyuarat Exco FAM Sabtu ini.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Sultan Ahmad Shah masih berminat untuk mengekalkan jawatan yang dipegangnya selama 30 tahun itu kerana masih mempunyai agenda yang belum diselesaikan termasuk pembinaan ibu pejabat baru FAM di Putrajaya.
Namun semuanya masih belum pasti apabila Tengku Abdullah kini menjadi calon pilihan ahli gabungan apabila mendapat 12 pencalonan berbanding Sultan Ahmad Shah (5) dan Tunku Ismail (3).

Bagaimanapun jika Sultan Ahmad Shah memutuskan untuk mempertahankan jawatan itu, Tengku Abdullah dijangka akan menarik diri dan hanya bertanding bagi kerusi timbalan presiden.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment