Monday, April 28, 2014

Tumpuan Skuad Hoki Negara Kepada Cabaran Suku Akhir Rabu Ini - Jurulatih

KUANTAN, 27 April (Bernama) -- Kegagalan skuad hoki negara mencipta kemenangan pada aksi pembuka tirai Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 semalam tidak bermakna peluang ke final telah tertutup, luah pengendali skuad hoki negara Mohammad Dhaarma Raj Abdullah.

Beliau berkata mengikut format perlawanan peringkat kumpulan, semua pasukan layak ke suku akhir namun keputusan perlawanan yang menentukan jadual perlawanan pada Rabu ini.

"Seboleh-bolehnya kita ingin mengelak berjumpa dengan New Zealand yang mendahului kumpulan A setakat hari ini, namun kita tidak tahu perancangan pasukan lain yang mempunyai strategi tersendiri bagi mendapat laluan mudah di peringkat suku akhir nanti," katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam pasukan hoki negara gagal meraih kemenangan pertama selepas tewas 2-3 kepada Perancis pada aksi pembuka tirai menyebabkan Malaysia berada di kedudukan tercorot kumpulan B.

Tiga pasukan lain turut bersaing dalam kumpulan B ialah pendahulu kumpulan iaitu Perancis diikuti Kanada dan Korea Selatan.

"Sekiranya kita raih kemenangan 10-0 ke atas Perancis semalam dan 10-0 bertemu Korea Selatan hari ini dan begitu juga pada perlawanan berikutnya pada peringkat kumpulan, ia masih belum memberi jaminan bahawa kita layak ke final.

"Apa yang lebih penting adalah kemenangan pada perlawanan peringkat suku akhir nanti namun kita beraksi untuk menang dan bukan untuk kalah jadi kita akan berusaha untuk menang pada perlawanan berikutnya," katanya.

Beliau berkata kemenangan pada perlawanan menentang Korea Selatan malam ini dan cabaran saingan penutup peringkat kumpulan bertemu Kanada juga penting walaupun semua pasukan layak ke cabaran suku akhir.

Rekod kejayaan terbaik skuad negara pada kejohanan dwitahunan ini adalah menduduki tempat keempat pada edisi di Quilmes, Argentina pada 2012.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment