Tuesday, April 01, 2014

‘Tiada tempat automatik!’

Kuala Lumpur: Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan tiada tempat automatik kepada mana-mana pemain untuk terus menyarung jersi kebangsaan melainkan mereka mempamerkan prestasi cemerlang dan sentiasa dalam kesebelasan utama dalam saingan liga domestik.

Kim Swee yang diberikan amanah untuk mengemudi skuad negara sejak awal tahun ini, akan bertanggungjawab untuk mengharungi aksi kelas A ketiga membabitkan Harimau Malaya yang kini berada pada ranking ke-141 apabila menentang Filipina pada 27 April di Cebu nanti.

“Walaupun sebelum ini pernah dipanggil untuk menyarung jersi negara, ia bukanlah jaminan untuk mana-mana pemain tersenarai menyertai kem latihan skuad negara bermula 21 April nanti. Bagi saya pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi yang cemerlang dalam liga dan sentiasa mendapat kepercayaan jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama, itu kriteria yang saya tetapkan,” menurut pengendali negara itu.

Kim Swee yang juga mengendalikan skuad Harimau Muda A beraksi di Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia, kini berada di tanah air bagi menilai sendiri prestasi pemain tempatan sebelum memutuskan senarai akhir.

“Berbaki beberapa perlawanan sebelum liga tempatan berehat, saya nasihatkan mana-mana pemain agar cuba mempamerkan prestasi yang baik untuk dinilai. Mungkin persembahan yang memberangsangkan akan menarik minat saya,” katanya.

Menyentuh mengenai ketiadaan penyerang tempatan yang benar-benar menyerlah ketika ini, Kim Swee melihatnya sebagai cabaran buat dirinya bagi memastikan jentera serangan negara tetap tajam di pentas antarabangsa.

“Memang tidak ada (yang menyerlah) ketika ini namun anda boleh lihat dua pemain yang menjaringkan gol ketika menewaskan Yaman baru-baru ini (Mohd Amri Yahyah dan Ahmad Fakri Saarani) adalah sumbangan pemain yang kerap berada dalam kesebelasan utama. Saya melihat situasi ini adalah salah satu cabaran buat saya,” tambahnya.

Skuad negara ketika ini dilihat berada pada keadaan terbaik sejak dikendalikan Kim Swee apabila mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang disusuli kemenangan 2-1 untuk menutup aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2015.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment