Thursday, April 10, 2014

Tiada Lagi Alasan Untuk Sukan Bola Sepak Tidak Berdaya Saing -- Khairy


KUANTAN, 10 April (Bernama) -- Tiada lagi alasan untuk sukan bola sepak negara tidak berkembang dan berdaya saing selepas Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara diisytiharkan sebagai program nasional.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata perubahan dan penambah baikan secara skala besar itu sudah pasti akan memperkasakan lagi program sedia ada.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang menjadi pelan nasional, selain mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi menjayakan pelan berkenaan serta mengangkat martabat dan mutu sukan bola sepak negara.

Khairy bagaimanapun berkata pelan tersebut sudah tentu memerlukan jangka masa tertentu untuk mencapai tahap kejayaan dan hasilnya tidak dapat dilihat dalam masa satu atau dua tahun ini.

Ianya dilihat lebih kepada 'kilang' dalam melahirkan bakat-bakat baharu yang berkeupayaan untuk dipertengahkan pada masa yang akan datang.

"Dengan pengumunan perdana menteri itu, pelan pembangunan bola sepak bukan hanya untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi satu dasar kerajaan yang seharusnya didokong oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari di sini.

Khairy berkata beliau lebih berkeyakinan untuk melaksana program tersebut apabila perdana menteri sendiri dan pihak kerajaan dilihat begitu bersunguh-sungguh menjayakan program nasional itu.

"Dengan pengumuman tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta oleh perdana menteri sendiri sudah pasti akan banyak membantu usaha bagi mencapai beberapa sasaran yang telah ditetapkan pada tahun ini," katanya.

Khairy berkata beliau telah berbincang dengan perdana menteri untuk meneruskan pembangunan fasa kedua Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari dan perkara secara dasar telah dipersetujui oleh perdana menteri sebelum di bawa ke peringkat kabinet.

Beliau berharap dengan adanya program pembangunan fasa kedua nanti lebih ramai bakat-bakat muda di seluruh pelosok negara akan dipilih untuk ditempatkan di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari di Gambang, Kuantan itu.

"Untuk pembangunan peringkat akar umbi kita juga memilih beberapa sekolah yang telah mempunyai kemudahan yang sedia ada bagi mencungkil bakat-bakat yang berumur di antara tujuh hingga 12 tahun bagi menjayakan usaha ini.

"Mereka ini kemudiannya akan dilatih di akademi-akademi tunas di setiap daerah sebelum diplih untuk menyertai Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari.

Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata FAM menyambut baik kesungguhan kerajaan mengatur program tersusun bagi mencungkil bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi.

"Diharap dengan program ini sukan bola sepak mampu berkembang dengan lebih cepat dan tersusun pada masa hadapan dan FAM sebagai badan induk sukan bola sepak negara akan sentiasa memberi sokongan serta bantuan bagi menjayakan program nasional ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment