Tuesday, April 01, 2014

Team Asia Dan Team Eropah Berkongsi Piala EurAsia Edisi Pertama

SHAH ALAM, 29 Mac (Bernama) -- Team Asia dan Team Eropah berkongsi Piala EurAsia edisi pertama selepas kedua-dua pasukan terikat pada 10 mata dalam pusingan akhir Piala EurAsia anjuran DRB-Hicom di Glenmarie Golf and Country Club, di sini hari ini.

Ketua pasukan Thailand Thongchai Jaidee dan Ketua pasukan Sepanyol Miguel Angel Jimenez menerima piala itu yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir Pengerusi Golf Profesional Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa untuk datang dan menyaksikan perlawanan walaupun mempunyai jadual yang ketat hari ini.

Ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah, Najib berkata beliau kagum dengan pencapaian Team Asia sepanjang kejohanan itu.

"Apabila Team Asia ketinggalan 0-5 pada pusingan pembukaan, saya sangka ia akan menjadi laluan yang sukar bagi Team Asia.

"Tetapi dengan komitmen dan keazaman yang tinggi, mereka berupaya bangkit pada pusingan kedua. Hari ini, mereka mempamerkan corak perlawanan yang mempesonakan. Saya juga harus mengucapkan tahniah kepada Team Eropah kerana mempamerkan aksi cemerlang," kata Najib.

Pada pusingan akhir hari ini, Team Asia yang ketinggalan 3-7 selepas dua pusingan menambah tujuh mata lagi untuk membaiki kedudukan.

"Pasukan itu menunjukkan aksi terbaik hari ini. Mereka bermain dengan hebat dan saya amat berbangga. Kami berkongsi piala dan mendapat 10 mata...ia satu kebangkitan yang hebat.

"Dalam pertemuan dengan mereka semalam, saya memberitahu pasukan saya supaya bersikap positif dan bermain mengikut rentak mereka," kata Thongchai, yang mengutip mata pertama bagi Team Asia.

Pemain lain yang mengutip satu mata bagi Team Asia ialah Kiradech Aphibarnrat (Thailand), Kim Hyung-Sung (Korea Selatan), Siddikur Rahman (Bangladesh) dan pemain India Anirban Lahiri dan Gaganjeet Bhullar.

Pemain Thailand Prayad Marksaeng dan pemain Jepun Hideto Tanihara, memperoleh mata separuh selepas seri dengan lawan masing-masing.

Sementara itu, ketua pasukan Team Eropah, Jimenez berasa gembira untuk berkongsi piala walaupun matlamat mereka ialah untuk menjuarai kejohanan itu buat julung kali.

"Ini merupakan permainan golf yang hebat. Persaingan memang sukar. pada akhirnya, kami menamatkannya dengan 10-10. Team Asia menunjukkan permainan yang baik dan hari ini, mereka memenangi tujuh perlawanan dan ini menunjukkan persaingan amat sihat.

"Team Eropah juga tidak kurang cemerlang, saya memberi pujian kepada pemain. Bagi edisi pertama Piala EurAsia, saya mengharapkan yang terbaik bagi masa depan dan kami berharap Eropah menjuarainya (edisi akan datang)," kata Jimenez, yang mengutip mata pertama bagi pasukan itu selepas menundukkan pemain Malaysia Nicholas Fung dengan satu lubang.

Selain Jimenez, pemain Belanda Joost Luiten juga menyumbang satu mata bagi Team Eropah sementara Jamie Donaldson (Wales) dan Gonzalo Fernandez-Castano (Sepanyol) masing-masing mengutip separuh mata.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment