Wednesday, April 02, 2014

Taufek tunggu peguam negara

Kelana Jaya: Insiden yang berlaku dalam Terowong Larkin masih belum selesai apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan mendakwa individu tertentu yang terbabit apabila memutuskan untuk menangguhkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak menjelaskan pihaknya akan menunggu tindakan lanjut Jabatan Peguam Negara.

“Siasatan sudah dijalankan pihak polis dan saya dimaklumkan ia sudah sampai kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

“Jadi kami akan menunggu tindakan lanjut daripada pihak mereka. Buat masa ini kami tidak akan meneruskan kes ini kerana mungkin wujud dua keputusan berbeza apabila kes itu dihadapkan ke mahkamah,” katanya semalam.

Bagaimanapun, Taufek menjelaskan FAM masih berhak mengambil tindakan sekiranya tiada dakwaan lanjut dilakukan.

“Kami di FAM mempunyai tempoh dua tahun untuk mengambil tindakan mengikut Kod Tatatertib. Namun jika mahkamah dapati tiada kesalahan, apa lagi yang boleh kami lakukan,” katanya.

FotoTEROWONG Larkin saksi insiden diantara Johor DT, T-Team.
Insiden di terowong membabitkan perlawanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menentang T-Team berlaku pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin yang berlaku 1 Februari lalu.

Dilaporkan insiden yang berlaku selepas tamat separuh masa pertama dengan seorang pemain import dan jurulatih kecergasan T-Team dikasari, turut membabitkan pegawai tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).
Pada masa sama, Jawatankuasa Tatatertib membuat keputusan Johor DT didenda RM30,000 dan diberi amaran kerana kelemahan tahap keselamatan.

“Kami memberi tumpuan khusus kepada aspek keselamatan pada mesyuarat hari ini, bukan insiden yang berlaku dalam terowong,” kata Taufek.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment