Tuesday, April 01, 2014

Tak pasti pertahan jawatan


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah masih belum menyatakan pendiriannya sama ada mahu mempertahankan jawatan yang disandang sejak 30 tahun lalu atau sebaliknya.

Sultan Ahmad Shah sekali lagi mendapat kepercayaan apabila dicalonkan ahli gabungan FAM untuk mempertahankan kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara itu selain anakandanya, Tengku Abdullah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Setakat ini belum dapat sebarang kepastian, tiada apa-apa atau pengumuman rasmi,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditanya mengenai pendirian Sultan Ahmad Shah berhubung pencalonannya untuk mengekalkan jawatan yang mula disandang sejak 1984.

Mengenai senarai penuh calon bakal bertanding untuk membarisi kepimpinan baru yang bakal berlangsung pada Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM 25 Mei nanti, Hamidin berkata, FAM akan mengumumkannya apabila tiba masanya.

Bagaimanapun FAM dijangka mengumumkan senarai penuh calon yang layak selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada 19 April depan dengan individu yang dicalonkan masih mempunyai peluang untuk menarik diri sebelum tempoh berkenaan.

Seandainya Sultan Ahmad Shah tidak bertanding, Tengku Abdullah dilihat calon paling layak untuk mengambil alih pucuk pimpinan susulan pengalaman luas dimilikinya di pentas antarabangsa terutamanya di Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

FotoSultan Ahmad Shah
Selain jawatan Presiden, 14 nama turut dicalonkan untuk mengisi dua kerusi Timbalan Presiden yang dipertandingkan termasuk Tengku Abdullah, Datuk Seri Subahan Kamal, Datuk Seri Afandi Hamzah, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan dan Datuk Mokhtar Ahmad namun kini hanya tinggal 13 calon selepas Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Datuk Paduka Mu khriz Mahathir secara terbuka mengumumkan tidak berminat.

Sementara itu Hamidin mengesahkan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM hari ini akan membincangkan insiden terowong Larkin, penggunaan kata-kata perkauman dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa dan Pablo Aimar terhadap pemain Pahang, Damion Stewart serta kes pembakaran suar oleh penyokong Sarawak semasa pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia pada 18 Januari lalu.





Oleh Azlan Muhammad Zain , Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment