Wednesday, April 09, 2014

Shahrul yakin NFDP menjadi



Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan Ahmad Shahrul Azhar Sofian yakin Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mampu mencapai misi melahirkan pemain berkualiti sekiranya program itu mendapat kerjasama semua pihak bagi tempoh jangka masa panjang.

Beliau berkata, atas kertas program itu sudah dirancang dengan penuh teliti namun pelaksanaannya bukan mudah apatah lagi ia membabitkan usaha menggilap pemain berusia tujuh hingga 17 tahun.
“Idea program ini adalah cetusan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin namun ia juga cita-cita rakyat Malaysia yang mahu melihat bola sepak Malaysia melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Saya melihat program ini sudah dirancang dengan baik namun sama ada ia benar-benar menjadi atau tidak bergantung kepada pelaksanaannya.

“Semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk ibu bapa dan pemain itu sendiri.

Kalau hanya sebelah pihak yang bersungguh-sungguh dan dibuat sekerat jalan, hasilnya masih sama.

Sudah pasti kita tidak akan melihat hasilnya dalam tempoh setahun dua ini kerana program pembangunan perlu dijalankan secara berterusan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Mengikut perancangan NFDP yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Akademi Bola Sepak, Gambang, Pahang Khamis ini seramai 10,000 remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun akan dilatih menerusi program bermula 2014-2020.

Dengan pemain yang dibentuk itu menerusi sentuhan bekas jurulatih skuad Remaja Bayern Munich Lim Teong Kim yang kini bertindak selaku Pengarah Teknikal NFDP, Malaysia menyimpan hasrat untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja pada 2019.

Ahmad Shahrul yang turut dilantik ahli jawatankuasa NFDP berkata, cabaran yang bakal dihadapi oleh Teong Kim adalah untuk memilih jurulatih untuk bekerjasama dengannya.

“Tidak semua ibu bapa mampu menghantar anak-anak mereka mendapat latihan di akademi bola sepak dan NFDP ini akan memberi peluang kepada ramai pemain.

Kita mempunyai ramai pemain muda berbakat di luar sana, tapi tidak mempunyai jurulatih yang berkelayakan,” katanya.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment