Wednesday, April 30, 2014

Schmid dilantik pengarah teknikal

HAMIDIN (kanan) mengesahkan pelantikan Schmid sebagai pengarah teknikal baharu FAM.


PENOLONG jurulatih Austria, Fritz Markus Schmid menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM yang baharu.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin semalam.
Menurut Hamidin, Schmid yang dijadualkan tiba Jumaat ini akan bertanggungjawab untuk memantau prestasi jurulatih-jurulatih di bawah naungan FAM untuk tempoh selama tiga tahun.

Selain itu, pengendali kelahiran Switzerland itu juga memiliki tugasan untuk memantau prestasi skuad Harimau Muda A, B, dan C termasuk aspek pembangunan bola sepak FAM.
"Benar, beliau (Schmid) dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu FAM. Dia akan tiba di sini (Malaysia) pada Jumaat ini untuk memulakan tugasan baharunya.

"Beliau akan bertanggungjawab memantau prestasi jurulatih termasuk jurulatih kebangsaan selain melihat prestasi para pemain serta pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

"Malah, beliau juga memiliki kuasa untuk terlibat memberikan pandangan dalam sesi pemilihan jurulatih kebangsaan tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Schmid, 54, pernah bertugas sebagai penolong jurulatih kelab Tottenham Hotspur, FC Basel 1893 dan FC Aargau selain menjadi pengurus kelab SC Kriens, Team Aargau U21, Grasshopper Club Zürich II dan Racing Club Zürich.

Dalam perkembangan lain, Hamidin turut menjelaskan bahawa FAM akan mengumumkan jurulatih baharu skuad Harimau Malaya selepas Kongres FAM ke-50 pada 25 Mei nanti.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM hampir-hampir melantik Phillipe Troussier sebagai jurulatih baharu tetapi tidak meneruskan perjanjian tersebut selepas bekas jurulatih Jepun itu menuntut permintaan melampau, Januari lalu.

Sejak insiden tersebut, FAM mengambil pendekatan kunci mulut dan ramai dikatakan berminat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pengendali, Datuk K. Rajagobal termasuk bekas pemain Chelsea, Marcel Desailly.

"Selepas kongres itu nanti, FAM akan umumkan nama jurulatih baharu.
"Sebenarnya, kita sudah mengadakan perbincangan (jurulatih baharu Harimau Malaya) di dalam dan luar negeri. Kalau saya bagitahu calon, nanti ada spekulasi lagi," katanya yang enggan mengulas lebih lanjut.

Buat masa ini, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan.



Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment