Friday, April 04, 2014

Sazali Samad Menang Anugerah Atlet Terbaik SAM-100Plus-KBS 2013


PETALING JAYA, 3 April (Bernama) -- Ikon bina badan negara, Sazali Abd Samad Khamis dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus-Kementerian belia dan Sukan (KBS) 2013.

Beliau mengenepikan saingan beberapa atlet tersohor negara seperti Datuk Nicol David (skuasy), Datuk Lee Chong Wei (badminton), Ho Mun Hwa dan Diana Bong Siong Lin (wushu) serta pasangan penerjun negara Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong yang turut dicalonkan untuk anugerah anjuran SAM itu.

Sazali membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam Majlis Anugerah SAM-100Plus-KBS di sini.

"Saya tidak sangka nama saya diumumkan sebagai penerima anugerah ini kerana saingan untuk anugerah ini semuanya atlet yang hebat-hebat belaka, dan kemenangan ini akan saya jadikan motivasi untuk meningkatkan prestasi saya," kata juara Mr Universe sebanyak sembilan kali itu.

Atlet berusia 47 tahun itu tetap bersemangat untuk meraih gelaran Mr Universe ke-10 pada Kejohanan Bina Badan Dunia di Mumbai, India pada November ini.

"Saya akan memburu apa jua gelaran pada setiap kejohanan pada tahun ini termasuk Kejohanan Dunia di Mumbai, India," katanya.

Sazali adalah atlet bina badan paling berjaya di negara apabila meraih gelaran Mr Universe sembilan kali pada 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 serta lapan kali gelaran Mr Asia bermula 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010 dan 2012.

Beliau juga meraih pingat perak bagi kategori 70kg pada temasya Sukan SEA Myanmar, Disember lepas.

Sementara itu, skuad hoki remaja kebangsaan dipilih sebagai penerima Anugerah Khas, Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menerima Anugerah Persatuan Dinamik, atlet olahraga negara Mohd Jironi Riduan dipilih sebagai Anugerah Kemunculan Semula dan penerjun negara Mohd Nazreen Abdullah dipilih sebagai Atlet Remaja Terbaik.

Khairy kemudiannya memberitahu pemberita SAM memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu sukan negara dengan menyalurkan berita berkualiti tentang pencapaian atlet dan sukan negara.

"KBS (kementerian) terus menyokong usaha SAM dalam menganjurkan anugerah tersebut kerana ia satu agenda penting dalam meningkatkan semangat penulis sukan untuk menghasil laporan yang bermutu tinggi untuk mempromosikan sukan kebangsaan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment