Tuesday, April 22, 2014

'Saya tidak kata mahu tarik diri'

SULTAN Ahmad Shah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-11 di Wisma FAM, Kelana Jaya Sabtu lalu.


SULTAN Ahmad Shah tetap akan mempertahankan jawatan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres badan induk itu 25 Mei depan.

Sultan Pahang itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus bertanding walaupun timbul khabar angin yang mengatakan baginda akan menarik diri menjelang kongres tersebut.

Sultan Ahmad Shah akan dicabar anakanda baginda yang juga Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah dan Tunku Mahkota Johor yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"The best man win (orang yang terbaik akan menang), saya tidak ada apa-apa masalah. People can challenge me (orang lain boleh cabar saya).

"Saya tidak ada apa nak komen lebih-lebih, saya masih presiden. Tengku Mahkota (Pahang) nak bertanding, Tunku Mahkota Johor pun (bertanding).

"Jadi, ketiga-tiga (calon) nak bertanding, tiada ada masalah, semua boleh bertanding," titah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Wisma Sri Pahang di Kuantan semalam.

Sultan Ahmad Shah turut bertitah, baginda tidak pernah menyatakan akan menarik diri dalam perebutan jawatan itu dan tiada sebab untuk berbuat demikian.

"Apa-apa kita tunggu 25 Mei depan. Kita harapkan semua (sesi pemilihan) akan berjalan dengan baik," titah baginda.

Ketika diminta mengulas mengenai pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan Presiden FAM bagi penggal 2014-2018, Sultan Ahmad Shah bertitah, perkara itu merupakan satu perkembangan positif dan menunjukkan kebebasan menawarkan diri untuk bertanding dalam badan induk tersebut.

"Sudah pasti ini adalah perkembangan yang baik. Ini dinamakan freedom (kebebasan) dan kalau kita monopoli sampai mati tidak adalah demokrasi.

"Istilah Raja dan rakyat berpisah tiada itu adalah tepat dan kita tengok nanti. Selepas 25 Mei ini, kita akan dapat tahu siapa pegang jawatan (Presiden FAM)," titah baginda.

Pada 19 April lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengumumkan senarai penuh calon yang bakal bertanding pada kongres ke-50 badan induk itu bulan depan.

Persaingan bagi merebut jawatan Presiden FAM pasti mencuri tumpuan kerana ia melibatkan tiga penjuru, sekali gus menyaksikan Sultan Ahmad Shah dicabar buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun.

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment