Wednesday, April 02, 2014

Razie masih 'berperang' dengan masa


KETUA Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz (kiri) memeriksa kecederaan yang dialami Razie di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil pada 12 Februari lalu.


“SAYA mengharapkan keajaiban berlaku.” Demikian pandangan ketua jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah terhadap peluang tonggaknya, Muhammad Razie Abd. Rahim beraksi pada kempen Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang bermula 26 April ini.

Razie mengalami kecederaan di bahagian bahu kiri ketika beraksi bersama pasukannya, Dabur Mumbai Magicians dalam saingan Liga Hoki India (HIL).

Pada 18 Februari lalu, Razie telah selamat menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC).

Kecederaan itu juga mengakibatkan Razie yang terpaksa berehat tiga hingga empat bulan kempunan untuk mewakili negara pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bulan lalu.

Bagaimanapun, Dhaarma Raj tetap menaruh harapan agar pakar flick itu mampu sembuh secepat mungkin dan membantu skuad negara mengharungi tugas getir di Kuantan nanti.

“Memang impian saya untuk melihat dia (Razie) boleh beraksi pada Cabaran Juara-Juara 1 tetapi ia seakan-akan mustahil kerana sekarang tinggal 26 hari saja lagi, tempoh itu terlalu singkat.

“Hujung minggu ini akan dapat tahu (proses pemulihan Razie) dari KLSMC dan selepas mendapat pelepasan daripada Institut Sukan Negara (ISN), barulah dia boleh turun buat latihan ringan.

“Saya tak mahu mengharap sebab saya takut nanti saya dikecewakan dengan berita buruk. Jadi, kita tunggu saja dan biar ia menjadi satu kejutan baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Sementara itu, Razie yang kini sudah mula menjalani latihan fizikal di gimnasium ISN juga masih belum pasti sama ada sempat pulih sepenuhnya sebelum kempen Cabaran Juara-Juara 1 bermula.

“Alhamdulillah... bahu bertambah baik tetapi saya tak pasti sama ada boleh terus bermain di Cabaran Juara-Juara 1 atau tidak.

“Cuma setiap seminggu saya perlu berjumpa fisio di KLSMC untuk dapatkan progres tahap pemulihan bahu kiri saya ini.

“Sekarang ini saya sudah mula menjalani latihan ringan seperti kekuatan fizikal dan lakukan larian di gimnasium, belum masanya saya turun buat latihan di padang,” jelas Razie.

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment