Wednesday, April 30, 2014

‘Ramdan paling layak’



Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan badminton negara Datuk Lee Chong Wei berasa Misbun Ramdan Misbun sebagai calon paling layak untuk mengisi slot terakhir skuad negara di India pada Pusingan Akhir Kejohanan Piala Thomas berbanding Goh Soon Huat.

Menurut pemain nombor satu dunia itu, walaupun Ramdan tewas kepada Soon Huat dalam aksi terakhir pemilihan di Stadium Bukit Kiara semalam, beliau tetap memilih anak bekas jurulatihnya Datuk Misbun Sidek sebagai perseorangan keempat negara.

Chong Wei berkata, berdasarkan pengalaman dan prestasi terkini di peringkat antarabangsa, kelibat Ramdan yang kini berada di ranking ke-48 dunia memiliki kelebihan berbanding Soon Huat yang baru beberapa kali menyertai kejohanan antarabangsa susulan pembedahan tahun lalu.

“Bagi saya Ramdan pilihan terbaik kerana dia mempunyai pengalaman dan berjaya menjuarai beberapa kejohanan. “Kita perlu memberi peluang kepada Ramdan untuk berada dalam skuad negara kali ini. Apapun saya serahkan kepada BAM untuk buat keputusan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran liga badminton profesional ‘Malaysia Purple League’ di Sentosa Sports Arena, semalam.

Sebelum itu, tiket terakhir acara perseorangan negara terpaksa ditentukan pada sesi pemilihan terakhir semalam selepas pemain perseorangan muda negara, Zulfadli Zulkifli menarik diri daripada menjalani sesi pemilihan itu dengan alasan masalah kesihatan.

Ramdan juga diberi peluang kedua oleh BAM selepas tidak menghadiri sesi pemilihan pertama kerana masalah kesihatan, tewas mengejut kepada pemain di bawah naungan BAM, Soon Huat, 19-21, 15-21.
Soon Huat melepasi ujian pemilihan pertama dan kedua dengan menewaskan Tan Chun Seang dan Mohd Arif Latif pada pemilihan pertama.



Oleh Mohd Firdaus Hashim, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment