Wednesday, April 09, 2014

PSM punya tempoh sehingga hujung bulan


Kuala Lumpur: Masa semakin suntuk buat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang mempunyai tempoh sehingga penghujung bulan ini untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dengan badan induk sepak takraw berkenaan akan memilih barisan kepimpinan baru pada tahun ini.

Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan beliau masih belum menerima sebarang maklumat berhubung AGM berkenaan dengan kedudukan Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail dijangka dicabar timbalannya, Mohd Shapian Ali untuk merebut kerusi yang disandangnya sejak 2003.

“Sehingga kini saya masih belum mendengar apa-apa mengenai AGM PSM, kita perlu tunggu sehingga 30 April ini sama ada mereka mahu meneruskan atau menangguhkannya.

Sebagai persatuan sukan, mereka perlu berbincang sekiranya ada masalah,” katanya semalam.
Tekanan terhadap kepimpinan PSM semakin hebat sejak kebelakangan ini susulan kegagalan berterusan skuad negara di pentas antarabangsa, terbaru kekalahan memalukan di Sukan SEA 2013 dengan kali terakhir barisan pemain negara meraih emas pada edisi 2005.

“Mereka seharusnya mengadakan mesyuarat (Ahli Majlis) untuk memutuskan perkara ini sama ada mahu meneruskan AGM bulan ini atau menangguhkannya dengan ahli mesyuarat perlu bersetuju sekiranya mahu menundanya,” katanya.

PSM difahamkan masih menunggu kata putus Ahmad yang kini berada di luar negara dan dijangka pulang minggu depan.

Namun, dipercayai kemungkinan besar AGM akan ditangguh hingga berakhirnya Sukan Asia di Korea Selatan pada Oktober.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment