Thursday, April 24, 2014

Produk BAM hambar lagi

Kuala Lumpur: Ketika saingan Piala Thomas akan berlangsung kurang sebulan lagi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) wajar untuk berasa bimbang berikutan prestasi mendatar pemain perseorangan mereka.

Semalam di Kejohanan Badminton Asia (ABC) yang berlangsung di Korea Selatan, produk BAM sekali lagi mempamerkan aksi hambar apabila mereka tewas seawal pusingan pertama.
Liew Daren yang disebut-sebut bakal mengisi slot perseorangan ketiga negara pada saingan Piala Thomas di New Delhi, India bermula 18 Mei, tewas straight set kepada pemain Korea Selatan Lee Dong Keun 24-22, 21-13 sekali gus gagal mengotakan janjinya untuk cuba mendapatkan keputusan terbaik.

Goh Soon Huat, calon untuk perseorangan keempat, turut tewas straight set 21-14, 21-17 kepada jaguh India Kashyap Parupalli.

Namun beregu wanita negara mempamer aksi meyakinkan menewaskan lawan masing-masing.
Pemenang pingat emas di Sukan Sea Myanmar Woon Khe Wei- Vivian Khoo mencatatkan kemenangan ke atas gandingan Taiwan Chiang Kai Hsin-Tsai Pei-Ling 21-12 21-11.

Gandingan Anscelly Amelia Alicia-Soong Fie Cho pula menewaskan Chan Hung Yung-Yuen Sin Ying dari Hong Kong 21-10 21-18.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment