Thursday, April 24, 2014

PKBM ubah lokasi latihan


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kini menempatkan pasukan elit negara untuk menjalani latihan di Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak sementara waktu bagi membolehkan mereka menjalani latihan sebelum kejohanan besar, tahun ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Naim Mohamad, berkata trek latihan itu digunakan untuk membolehkan pasukan itu menjalaini latihan untuk persiapan menghadapi Sukan Komanwel dan Asia yang akan menentukan nasib dan masa depan pasukan.

“Ketika ini beberapa atlet elit negara menjalani latihan di Australia, manakala atlet lain pula meneruskan latihan di sini.

Oleh kerana Velodrom Cheras akan dirobohkan, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) bersetuju untuk membaik pulih Velodrom di Ipoh dan ia sememangnya perkhabaran yang menggembirakan PKBM.
“Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikatakan bakal membina satu trek latihan di Cheras, namun pembinaannya memakan masa dan ia mungkin menggangu jadual latihan kita yang sudah disusun lebih awal,” katanya ketika dihubungi.

Apabila ditanya mengenai sasaran PKBM pada temasya Sukan Komenwel di Glasgow, Scotland Julai ini, Naim berkata, pihaknya akan memutuskan sasaran pingat pada temasya sukan berkenaan selepas mereka selesai mengadakan mesyuarat pengurusan pasukan dalam tempoh terdekat.

“Seperti biasa harapan kita untuk memburu pingat dalam acara trek menerusi Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng dalam kategori lelaki selain Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet dalam kategori wanita,” katanya.

Untuk rekod, Josiah meraih pingat perak dalam acara keirin pada edisi 2010 di New Delhi, India sebelum diisytiharkan pemenang oleh juri pertandingan, berikutan pembatalan kemenangan emas oleh Mohd Azizul yang dikatakan memotong di celah pelumba lain yang sepatutnya dilakukan dari luar.


Oleh Mohd Firdaus Hashim, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment