Monday, April 21, 2014

Pilihan awal Dhaarma Raj

TINDAKAN ketua jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyenaraikan Muhammad Razie Abdul Rahim dalam senarai 21 pemain menimbulkan keraguan ramai pemerhati sukan hoki tanah air.

Ini kerana kecederaan pada bahu kiri Razie yang selesai menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) pada 18 Februari lalu dikatakan masih belum pulih sepenuhnya.
Bagaimanapun, Dhaarma Raj menjelaskan bahawa penyenaraian pakar flick itu bertujuan membina semula keyakinannya dalam menghadapi perlawanan bertaraf antarabangsa.


Katanya, Razie akan menyertai dua ‘pemanas badan’ terakhir - menentang Perancis (22 April) dan Poland (24 April) dan pada masa sama, tidak menolak kemungkinan akan menyenaraikan tonggak utama skuad negara itu.

“Pada peringkat ini, kita ambil Razie sebagai persediaan untuk dia pulih secepat mungkin menjelang kempen Piala Dunia (di The Hague, Belanda, 31 Mei depan).

“Saya tiada perancangan memilih Razie ke Cabaran Juara-Juara 1. Persediaan kita hanyalah membawa dia bermain perlawanan persahabatan menentang Perancis dan Poland.

“Namun, daripada apa yang saya lihat hari ini (semalam), dia tak nampak kekok atau pemain yang perlu mengambil masa untuk kembali ke tahap terbaik tetapi dia nampak normal sahaja (menentang China).

“Jadi saya rasa ia merupakan satu pilihan yang baik. Saya tidak menolak kemungkinan jika situasi mengizinkan, mungkin dia boleh digunakan,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan enam siri perlawanan persahabatan menentang China di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Selepas tamat mengharungi dua aksi terakhir (menentang Perancis dan Poland), tiga pemain daripada senarai 21 pemain akan digugurkan bagi melengkapkan kuota akhir 18 pemain menyarung jersi negara ke Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang bermula 26 April depan.

Dalam pada itu, Dhaarma Raj turut menganggap senarai itu merupakan antara yang terbaik dalam skuad senior selain memberikan bayangan pasukan sama akan mengalas cabaran negara ke Piala Dunia bulan depan.

Justeru, bekas pengendali Skuad Projek 2013 itu mengakui skuad negara berpeluang cerah menjuarai Cabaran Juara-Juara 1 kali ini bagi meraih tiket automatik ke Trofi Juara-Juara 2016.

“Saya fikir saya mengambil langkah yang betul dan mahukan 18 terbaik beraksi pada Cabaran Juara-Juara 1. Saya mahukan mereka yang terpilih dapat berikan persembahan terbaik.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, saya cuma mahukan pasukan terbaik Malaysia bermain kerana saya dahagakan kejayaan pada Cabaran Juara-Juara 1,” jelasnya.

Sebagai rekod, skuad negara mencatatkan empat kemenangan dan satu kekalahan serta satu keputusan seri sepanjang enam siri perlawanan persahabatan menentang China tersebut.



Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment