Thursday, April 03, 2014

Pertandingan Tiga Penjuru Untuk Jawatan Presiden FAM

PETALING JAYA, 2 April (Bernama) -- Pertandingan tiga penjuru untuk jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka bakal berlaku pada Kongres FAM ke-50 pada 25 Mei ini, kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata FAM telah menerima tiga pencalonan untuk jawatan presiden yang disandang oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah tetapi enggan mendedahkan nama calon berkenaan atau persatuan yang mengemukakan pencalonan tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan kesediaan untuk bertanding jika mendapat pencalonan.

Hamidin berkata FAM turut menerima 10 pencalonan bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden (17 calon), jawatankuasa eksekutif (35 calon) dan jawatankuasa eksekutif wanita (11 calon).

"Selepas ini pihak sekretariat akan memaklumkan kepada semua calon dengan menghantar borang sama ada mereka menerima ataupun menolak pencalonan itu.

"Mengikut statut FAM senarai akhir calon yang ingin bertanding akan diumumkan sebulan sebelum kongres," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah.

Selain jawatan presiden, jawatan timbalan presiden turut mengaitkan naib presiden Datuk Seri Subahan Kamal dan Afandi.

Terdahulu, Afandi, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, berkata pihaknya menerima beberapa nama pemain import dan pemain tempatan bagi pendaftaran kedua, masing-masing akan tamat pada 19 April dan 22 April ini.

"Setakat hari ini, beberapa pasukan telah membuat pertukaran pemain import mereka iaitu dua pemain masing-masing bagi pasukan Sarawak dan DRB-Hicom, seorang pemain import bagi pasukan KL SPA, Felda United dan Sabah.

"Pemain tempatan pula, dua pemain yang mendaftar masing-masing adalah bagi pasukan Kelantan, Johor Darul Ta'zim II dan seorang pemain bagi pasukan Sabah," kata Afandi.

Afandi turut memaklumkan perubahan tarikh perlawanan separuh akhir kedua Piala FA akan berlangsung pada 30-31 Mei ini namun separuh akhir pusingan pertama kekal pada 5-6 Mei dan final pada 7 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mengulas tindakan beberapa pihak yang mempersoalkan hukuman denda RM30,000 ke atas PBNJ atas 'insiden terowong' dan kemenangan percuma 3-0 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA dengan T-Team, 1 Feb lepas, beliau menegaskan kes tersebut adalah berbeza.

Afandi berkata kemenangan percuma kepada JDT dibuat selepas mengambil kira keengganan pasukan T-Team untuk meneruskan babak jedua perlawanan.

"Pegawai perlawanan hari itu menyatakan bahawa perlawanan boleh diteruskan. Jadi bagi pasukan yang enggan meneruskan perlawanan, ia dikira sebagai kalah," katanya.

Sementara PBNJ pula didenda kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi berhubung insiden kekecohan di dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment