Friday, April 04, 2014

Persiapan Sukma Ke-17 Kini Di Peringkat Akhir - MB Perlis

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Persiapan menjelang temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 berjalan lancar dan Perlis, selaku tuan rumah, kini bersedia sepenuhnya bagi mengendalikan temasya itu buat pertama di negeri itu.

Menteri Besar Azlan Man berkata segala kerja dirancang secara rapi dan kini di peringkat akhir termasuk aspek prasarana seperti venue pertandingan.

"Malah ada antara gelanggang sukan ini akan diserahkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat," katanya kepada Bernama ketika melakukan lawatan rasmi ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Romli Dai, Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis, Muhd Azahari Ramli dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma ke-17 Perlis, Syaiful Rizal Syukri.

Sukma ke-17 di Perlis bermula 24 Mei hingga 4 Jun ini melibatkan 24 jenis sukan yang dipertandingkan. Majlis pembukaan rasmi akan diadakan pada 26 Mei manakala majlis penutupan pada 4 Jun.

Dalam perkembangan lain, Azlan berkata kerajaan negeri juga sedang dalam perancangan untuk menambah pengeluaran produk pelancongan popularnya iaitu mangga Harum Manis.

"Kini usaha sedang dijalankan dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk mencari kaedah baharu menggunakan teknologi rumah hijau, supaya pokok mangga Harum Manis dapat berbuah sepanjang tahun dan bukan setahun sekali," katanya.

Azlan berkata jika tekonologi baharu itu berhasil, pengeluaran mangga Harum Manis akan dapat ditingkatkan sehingga empat tan dan boleh dieksport ke luar negara berdasarkan permintaannya yang menggalakkan ketika ini.

Lawatan sulung Azlan itu disambut Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Datuk Zakaria Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Audio Visual, Mokhtar Hussin.

Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Yong kemudiannya menyampaikan taklimat mengenai operasi Bernama.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment