Wednesday, April 02, 2014

Pemain Malaysia Menang Mudah Di Terbuka India


NEW DELHI, 1 April (Bernama) -- Pemain Malaysia mendapat laluan mudah dalam pusingan kelayakan kejohanan badminton Yonex Sunrise-BWF Metlife India Open Super Series di Siri Fort Sports Complex di sini.

Pasangan beregu campuran Chan Peng Soon/Lai Pei Jing mendapat kemenangan percuma apabila lawan mereka Harinder Malik/Meenu Sing dari India menarik diri selepas ketinggalan 1-11 dalam set pertama.

Peng Soon-Pei Jing juga menang perlawanan kedua mereka menentang pasangan India Sanyam Shukla/Sanyogita Ghorpade dengan mata 21-10, 21-14 untuk mara ke pusingan seterusnya, manakala Abdul Khalid Mohd Lufti Zaim/Soong Fie Cho mendapat kemenangan percuma daripada pasangan India Chirag Sen/Kuhoo Garg dalam pusingan pertama, sebelum mengalahkan pasangan Taiwan Liao Kuan Hao/Pai Hsian Ma 14-21, 21-13, 21-9 dalam pusingan kelayakan kedua.

Dalam acara beregu lelaki, Chiang Iann Shiarng/Yeoh Kay Ee dengan mudah mengetepikan pasangan India B. Kiran Kumar/P. Vinay Kumar Reddy 21-18, 21-13.

Dalam acara perseorangan lelaki pula, Chiang Jiann Shiarng dengan mudah mengalahkan pemain India Vijetha N.V.S 21-17, 21-9 dalam pusingan kelayakan pertama, tetapi kalah dalam pusingan kedua di tangan pemain Thailand Avithingsanon Suppanyu 22-24, 12-21.

Abdul Khalid-Fie Cho akan bertemu pasangan Indonesia Markis Kido/Bernadeth Pia Zebadiah, manakala Peng Soon-Pei Jing menentang pasangan Jepun Kenichi Hayakawa/Misaki Matsutomo.

Datuk Lee Chong Wei akan menentang pemain India K. Ajay Kumar, manakala pasangan beregu lelaki Hoon Thien How/Tan Wee Kiong bertemu pasangan China Jun Kang/Cheng Liu.

Oleh Saraswathi Muniappan -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment