Thursday, April 17, 2014

PBNJ kumpul maklumat kekecohan

Johor Bahru: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) akan mengumpul maklumat dan menilai insiden kekecohan di Ipoh membabitkan penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) yang dibaling batu selepas perlawanan Liga Super, kelmarin.

Naib Presiden I PBNJ On Jabbar@Jaafar berkata, maklumat terperinci harus dikumpul dan dinilai sebelum sebarang tindakan susulan dibuat malah beliau juga menegaskan insiden berkenaan sudah dimaklumkan kepada Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Insiden ini dianggap sejarah hitam bola sepak Malaysia dan tindakan pantas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) membendung insiden lebih buruk harus dipuji malah penggunaan pancutan air meleraikan segelintir penyokong Perak adalah yang pertama berlaku.

“Amat menyedihkan apabila penyokong Johor DT menjadi mangsa, mereka hadir untuk menonton perlawanan Johor DT dan Perak, tetapi mendapat layanan buruk segelintir penyokong tuan rumah. “Ketika penyokong Perak, Sarawak, Kedah dan Pulau Pinang hadir ke Johor, mereka diberi layanan terbaik malah penyokong Johor DT langsung tidak bermusuhan dengan mana-mana penyokong,” katanya ketika dihubungi.

Insiden kekecohan yang mencemar imej bola sepak tempatan nyata beri kesan negatif pada saingan Liga Super yang rancak berlangsung apabila bas membawa pemain Johor DT diconteng dengan ayat tertulis ‘This is Ipoh’ dan turut dihujani balingan batu.

On menambah Tunku Ismail amat menitikberat soal keselamatan penyokong dan insiden di Ipoh, kelmarin pasti mengundang kecewa beliau yang memandang serius gejala samseng membabitkan penyokong bola sepak.
“Saya harap FAM siasat di mana silapnya dan segera ambil tindakan. Kita tidak mahu lihat ada permusuhan antara penyokong pasukan negeri mahupun kelab kerana yang paling utama kita sayangkan bola sepak tempatan dan sama-sama jaga adab dan disiplin tidak kira sebelum atau selepas perlawanan,” kata On.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment